Dr M bimbang ‘pencuri’ lain mungkin terlepas susulan kes Riza Aziz

Dr Mahathir Mohamad tidak gembira dengan keputusan kes pengubahan wang Riza Aziz.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan hasil kes pengubahan wang penerbit Hollywood, Riza Aziz kerana bimbang ia akan dijadikan rujukan oleh pihak lain yang mencuri wang rakyat.

Bekas perdana menteri itu dalam satu rakaman video berkata, beliau “keliru” kerana pendakwaan terhadap individu yang didakwa “mencuri wang” boleh ditarik balik selepas tertuduh bersetuju mengembalikan wang itu.

“Dia curi berbilion, dia bawa dengan lori bagi balik kepada kerajaan, dia kata ini duit aku curi, sekarang jangan ambil tindakan ke atas aku,” katanya dalam video yang dimuat naik ke Facebooknya.

Semalam, Riza yang juga anak Rosmah Mansor, dilepas tanpa dibebaskan daripada 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah ia tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian itu.

Mahathir berkata, berdasarkan logik itu, pencuri boleh terlepas daripada jenayah yang mereka lakukan.

“Apakah kita di masa depan kalau ada pencuri, dia kena tangkap, lepas itu bagi balik duit, dia dilepaskan?

“Saya tidak persoal keputusan hakim, tentulah ia dibuat mengikut undang-undang, tapi saya khuatir pasal ada banyak lagi pencuri dalam negara kita, kalau kita pegang asas ini pencuri terlepas.”

Katanya, sebagai wakil rakyat yang turut menggubal undang-undang, sudah tentu beliau mahu melihat keberkesanan akta yang diluluskan.

“Kalau macam ini undang-undang, mungkin kita kena pinda balik, tapi itu terpulang kepada Dewan Rakyat nak pinda.

“Saya takut dengan bercakap macam ini kena hadap ke mahkamah. Saya minta maaf hakim-hakim, saya bukan bertujuan nak kritik hakim, orang tanya macam-macam, jadi saya kena jawab.”

Riza dihadapkan ke mahkamah pada Julai 2019 atas dakwaan menerima dana daripada Good Star Ltd dan Aabar Investments PJS Ltd yang dikatakan ada kaitan dengan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho.

Beliau didakwa menerima wang itu antara April 2011 hingga November 2012 diCity National Bank di Los Angeles, California dan juga Bank BSI di Temasek Boulevard, Singapura.

Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda maksimum RM5 juta atau 5 kali ganda nilai aktiviti haram, mana lebih tinggi.