Sukar awasi taska persendirian tak berdaftar, kerajaan bimbang

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata taska persendirian tidak berdaftar tidak dilatih mengendalikan kes.

PUTRAJAYA: Kerajaan akui bimbang dengan taman asuhan kanak-kanak (taska) persendirian yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), kerana sukar untuk mengawasi pematuhan mereka pada tatacara operasi standard melawan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob menggesa pengusaha yang berkenaan mendaftarkan taska mereka untuk membantu pengawasan pandemik.

Katanya, sebuah taska persendirian tidak berdaftar di suatu taman perumahan mungkin menjaga 3 hingga 4 anak, tetapi penjaganya tidak terlatih.

“Kalau ada perkara yang tidak baik berlaku, itu di luar tanggungjawab kementerian,” katanya pada sidang media hari ini, ketika ditanya mengenai operasi taska persendirian yang tidak berdaftar.

Semua 7,000 taska yang berdaftar dengan kerajaan dibenarkan beroperasi serta-merta dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat, selepas mesyuarat khas menteri meluluskan SOP yang diperkemaskan berhubung operasinya.

Ismail memberitahu taska persendirian bahawa penjaga mereka boleh diberi latihan pengendalian kes jika berdaftar dengan KPWKM.

Mereka juga boleh memohon bantuan kerajaan.

“Kita seru taska persendirian muat turun SOP di laman KPWKM,” katanya.

Sementara itu, terpaksa meninggalkan anak di taska berdaftar kerana ibu bapa sudah bekerja lebih 8 jam bukan suatu kesalahan.

“Tidak jadi kesalahan selagi SOP dipatuhi,” katanya.

Beliau menambah SOP bagi taska yang dibenarkan beroperasi “sangat ketat”.

Yuran sekolah separa kerajaan

Menteri turut ditanya mengenai kutipan yuran sekolah separa kerajaan dalam tempoh kawalan.

Ismail berkata sekolah yang berkenaan tidak dibenarkan mengutip yuran kerana mereka tidak beroperasi sepanjang tempoh kawalan.

“Tidak mengajar dan kos operasi sekolah kosong. Minta ibu bapa bayar yuran anak yang tidak ke sekolah, walaupun separuh yuran, tidak patut berlaku,” katanya.