
Nurul Farhana Ramlee, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Syafiq Sulaiman.
Dia dituduh bertindak cuai dengan cara yang mungkin membahayakan nyawa seorang kanak-kanak lelaki sehingga terkurung dalam bilik di taska Al Kauthar Eduqids di Seksyen 3 di sini pada 4.32 petang 6 Okt 2025.
Wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan, denda sehingga RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, Farhana dan pemilik taska itu, Nor Fadilah Alias, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama menjalankan operasi tanpa perakuan pendaftaran sah daripada ketua pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 21 Jan lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, mereka turut mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, atas pertuduhan menjalankan operasi sebuah taska tidak berdaftar di Kota Kemuning pada 19 Jan lalu.
Syafiq membenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin masing-masing bagi setiap pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Mei ini.
Peguam Anwar Ezzad Zainal mewakili dua tertuduh, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar.