PAS lapor SPRM terhadap Guan Eng, Tommy Thomas isu akaun bank bos hartanah

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahim bercakap kepada pemberita di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN: PAS Pulau Pinang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini terhadap bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan bekas peguam negara, Tommy Thomas, berhubung pembatalan pembekuan akaun bank milik seorang taikun hartanah.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri, Abdul Razib Abdul Rahim percaya mereka menggunakan jawatan untuk apa yang didakwanya meminta pembekuan akaun seorang ahli perniagaan yang sedang disiasat dibatalkan.

Beliau meminta SPRM melihat surat yang dikatakan ditulis Thomas yang didakwanya melepaskan akaun itu atas permintaan Guan Eng.

“Saya percaya Guan Eng mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung, telah menggunakan jawatan, kedudukan dan pengaruh beliau menyebabkan bekas peguam negara, Tommy Thomas mengeluarkan arahan kepada SPRM untuk melepaskan semua akaun milik Lim Soon Peng.

“Saya juga percaya Thomas, mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung, telah menggunakan jawatan, kedudukan dan pengaruh beliau menyebabkan SPRM melepaskan akaun milik Soon Peng tersebut walaupun telah diberitahu oleh pegawai SPRM bahawa wang RM4 juta masih gagal dipulangkan kepada kerajaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Razib mendakwa ada melihat surat Thomas kepada Guan Eng di laman web suara.tv dan akaun Facebook “Peniup Wisel Siber” pada 2 Jun.

Sehari sebelum itu, FMT difahamkan dalam satu pendedahan terkini bahawa Guan Eng pernah meminta Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan pembekuan melibatkan beberapa akaun bank milik taikun hartanah itu, yang dibekukan kerana siasatan ke atas transaksi RM4 juta berkaitan dana 1MDB.

Laporan itu menulis Thomas seterusnya mengarahkan SPRM menarik balik pembekuan ke atas 4 akaun bank berkenaan. SPRM kemudian mengesahkan ia melepaskan akaun itu atas arahan peguam negara ketika itu.

Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak memuatnaik gambar dikatakan surat berkenaan akaun bank taikun itu.

Beliau menyoal Guan Eng tandangan siapa pada dokumen itu.

“Betul ke ini tulisan serta tandatangan kamu yang petik nama perdana menteri ke-7 untuk arahkan Thomas untuk hentikan pembekuan akaun bank taikun?”