Keputusan kes bunuh Kevin Morais pada 10 Julai

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan membuat keputusan dalam kes bunuh timbalan pendakwa raya Kevin Morais pada 10 Julai depan.

Hakim perbicaraan Azman Abdullah menetapkan tarikh tersebut selepas mendengan penghujahan penutup daripada timbalan pendakwa raya Saiful Edris Zainuddin dan Wan Shaharuddin Wan Ladin serta peguam N Sivananthan dan Sheelan Arjunan.

Sivananthan mewakili doktor tentera R Kunasegaran, yang didakwa bersama-sama 5 yang lain berniat membunuh Morais pada 4 september, 2015 antara Jalan Dutamas Raya Sentul dengan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya.

Lima yang lain ialah R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath, S Nimalan dan S Ravi Chandaran.

Jika didapati bersalah mereka akan dijatuhi hukuman mati.

Sivananthan berhujah bahawa keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk mensabitkan Kunasegaran atas tuduhan berniat membunuh pendakwa raya kanan itu.

“Mereka kata klien saya marah terhadap si mati kerana beliau (Morais) mengendalikan kes rasuah klien saya,” katanya.

“Saya tidak mempertikaikan bahawa beliau tidak gembira dengan tuduhan tambahan yang dikenakan ke atasnya, tetapi apakah perasaan marah itu diterjemahkan kepada pembunuhan?”

Dalam pada itu, Sheelan berkata, 5 lelaki terbabit menyebut dalam testimoni bahawa mereka tidak tahu siapakah yang membunuh Morais. Mereka juga menafikan mempunyai apa-apa perselisihan dengan beliau.

Bagaimanapun Saiful berkata, keterangan menunjukkan kesemua 6 mereka melakukan jenayah itu.

“Mahkamah mesti menilai kesemua keterangan secara keseluruhan dan tidak melihatnya hanya dari satu sudut,” tambahnya.

Pada awalnya kesemua 6 lelaki terbabit didakwa membunuh Morais. Bagaimanapun seorang daripada mereka, iaitu G Gunasekaran, dikenakan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kehilangan mayat Morais. Beliau kemudiannya menjadi saksi pendakwaan.

Perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi pada Januari 2016 dengan 70 saksi memberi keterangan di peringkat pendakwaan.

Dalam pada itu, peringkat pembelaan bermula pada Januari 2018.