1 Adun Selangor dijangka keluar PKR

FMT difahamkan beberapa ahli di peringkat bahagian dan cawangan akan mengikut jejak pemimpin itu keluar parti, tindakan yang dilihat akan memberikan kesan kepada PKR di peringkat akar umbi.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin pusat PKR yang turut mempunyai kedudukan dalam pentadbiran Selangor dijangka meletak jawatan dan meninggalkan parti itu hari ini.

Sumber memberitahu FMT, pemimpin itu yang juga seorang Adun Selangor kecewa dengan kepimpinan Anwar Ibrahim yang menyaksikan beberapa penyokong bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali disingkirkan daripada parti berkenaan baru-baru ini.

Keputusan pemimpin itu meninggalkan PKR dijangka memberi kesan kepada sayap Wanita parti itu yang ketika ini dilihat sedikit tempang susulan keputusan parti menggantung Ketua Wanitanya, Haniza Mohd Talha sejak April lalu.

FMT turut difahamkan beberapa ahli di peringkat bahagian dan cawangan akan mengikut jejak pemimpin terbabit keluar parti, tindakan yang dilihat akan memberikan kesan kepada PKR di peringkat akar umbi.

Pada 5 Jun lalu, Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang mengumumkan keluar parti disebabkan masalah dalaman Pakatan Harapan dan kejatuhan kerajaan gabungan itu susulan peletakan jawatan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad akhir Februari lalu.

Ia menyusul keputusan Adun Lunas, Azman Nasrudin serta Adun Sidam, Robert Ling yang meninggalkan PKR pada 12 Mei lalu dan menyebabkan kerajaan Kedah PH pimpinan Mukhriz Mahathir tumbang.

Bekas ketua PKR Sarawak, Baru Bian yang meninggalkan parti itu Februari lalu pula bertindak menyertai Parti Sarawak Bersatu (PBS) pada 30 Mei lalu.