Dakwa wujud ‘jurang prinsip’, ketua Pemuda Amanah Perlis keluar parti

Dakwa wujud ‘jurang prinsip’, ketua Pemuda Amanah Perlis keluar parti

Ahmad Fadhzil Mohamad umum letak semua jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Ahmad Fadhzil Mohamad
Ahmad Fadhzil Mohamad berkata, beliau mahu beri tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha kemasyarakatan yang lebih dekat dengan prinsip perjuangannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Amanah Perlis Ahmad Fadhzil Mohamad mengumumkan peletakan semua jawatan serta keluar daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta, atas alasan wujudnya ‘jurang prinsip’ dalam landskap politik semasa.

Selain jawatan peringkat negeri, Ahmad Fadhzil turut melepaskan jawatan sebagai ketua Pemuda Amanah Kangar dan Ketua Biro Kesihatan Pemuda Amanah Nasional.

Beliau berkata, keputusan drastik itu dibuat selepas melalui proses pertimbangan yang panjang dan teliti terhadap hala tuju perjuangan yang ingin dibawanya sebagai pemimpin muda.

“Saya melihat terdapat jurang yang semakin ketara antara prinsip perjuangan yang saya pegang dengan pendekatan serta keutamaan semasa dalam landskap politik yang sedang dilalui,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhzil berkata, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat harus mengatasi kepentingan kedudukan dalam organisasi.

“Sebagai pemimpin muda, saya percaya bahawa kepimpinan bukan sekadar soal kedudukan, tetapi soal keberanian untuk kekal berpegang kepada prinsip, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.

Menurutnya, keputusan mengundur diri daripada semua jawatan dan keahlian parti itu juga bertujuan memberi ruang kepada kepimpinan lain untuk meneruskan agenda mereka.

Sebaliknya, beliau mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha kemasyarakatan yang lebih dekat dengan prinsip perjuangannya, khususnya dalam bidang kesihatan dan kebajikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.