MB Selangor gesa Daroyah kosongkan kerusi Sementa

Amirudin Shari (kiri) berkata, tindakan Daroyah Alwi meninggalkan PKR ialah pengkhianatan kepada rakyat yang memberi mandat kepada PH untuk mentadbir Selangor pada PRU14 lalu.

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menggesa bekas timbalan ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi yang keluar parti semalam supaya mengosongkan kerusi Sementa.

Beliau yang juga ketua PKR dan PH Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan Daroyah keluar parti.

“Tindakan ini jelas satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang telah memberi mandat jelas kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir Selangor melalui pilihan raya umum ke-14 yang lepas.

“Saya yakin Adun PKR serta semua lapisan jentera PKR, terutamanya ketua cawangan PKR merasa mual dengan politik separa matang yang tidak berkesudahan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Semalam, Daroyah dilaporkan berkata, beliau meninggalkan PKR kerana tidak lagi percaya dengan kepimpinan Presidennya, Anwar Ibrahim dan demokrasi dalam parti itu sudah mati.

Katanya, beliau akan menjadi wakil rakyat bebas dan menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Seramai 48 pemimpin Wanita Selangor, ahli majlis perbandaran dan daerah serta pimpinan PKR Cawangan Kapar turut mengikut jejak Daroyah keluar parti.

Amirudin berkata, peletakan jawatan Daroyah sebagai timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan diuruskan pejabat DUN Selangor.

Katanya, PKR dan PH Selangor berazam untuk terus berkhidmat dan menghormati mandat rakyat.

“Keutamaan kerajaan Selangor pada masa ini adalah untuk menggembleng inisiatif membantu rakyat Selangor yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19.”