
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata seruan DAP menyeru PKR bersetuju dengan pencalonan Mahathir dan bukannya Anwar Ibrahim mungkin sukar diterima penyokong parti itu.
Beliau berkata tindakan DAP menolak Anwar, yang mengetuai PKR yang berbilang kaum, dan menyokong Mahathir, bekas pengerusi PPBM, boleh mendorong pengundi Cina menyokong PKR.
“DAP sepatutnya bekerjasama dengan PKR, sekutu lamanya, untuk membina pembangkang yang kuat daripada menyokong Mahathir,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, sokongan DAP mungkin boleh menyukarkan PKR mendapatkan sokongan orang Melayu.
Bagaimanapun, orang Melayu mungkin susah untuk terima Mahathir sekali lagi sebagai perdana menteri kerana beliau meletakkan jawatan pada Februari walaupun bertentangan dengan kehendak Agong.
“DAP tidak mempertimbangkan sensitiviti ini,” katanya. “Parti itu patut tumpu kepada mengubah imejnya supaya ia diterima orang Melayu.”
Beliau juga bercakap tentang keraguan di media sosial terhadap Mahathir menjadi perdana menteri buat kali ke-3.
“Penyokong DAP lebih cenderung kepada wawasan Malaysia berbilang kaum, dan ini sesuatu yang orang ramai kaitkan dengan Anwar berbanding Mahathir, seorang nasionalis Melayu,” katanya.
“Dalam masa yang sama, orang ramai akan tertanya kenapa DAP bersungguh-sungguh mahu Mahathir menjadi perdana menteri, seolah-olah tiada pilihan lain.”
Malaysiakini sebelum ini melaporkan Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook menggesa PKR menyokong Mahathir sebagai calon perdana menteri kerana komponen PH lain sudah bersetuju.
Bagaimanapun, Awang Azman berkata PKR harus mempertahankan pendiriannya kerana PH tidak akan dapat menawan Putrajaya tanpa sokongannya dan keputusan Anwar untuk menerima Mahathir sebagai seorang sekutu sebelum pilihan raya umum 2018.
“Tanpa PKR dan ahli Parlimen yang menyokong Anwar, agak suakr untuk PH Plus membentuk kerajaan,” katanya, merujuk kepada komponen PH, sekutunya Warisan dan 4 ahli Parlimen yang terlucut keahlian PPBM bersama dengan Mahathir.
Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PKR nampaknya bersendirian mahukan Anwar sebagai perdana menteri.
Beliau bersetuju gabungan itu tidak boleh bertahan tanpa PKR tetapi dalam masa yang sama parti itu tidak boleh bersendirian.
“Satu-satunya cara untuk selamatkan PH pada pilihan raya umum akan datang adalah PKR dalam gabungan itu,” katanya, dan menambah Anwar boleh mengemukakan kata dua sama ada terima beliau sebagai calon perdana menteri atau pergi menawan Putrajaya daripada Perikatan Nasional tanpa sokongan partinya.
Azmi berkata PKR tidak sedia menerima Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi, walaupun untuk 6 bulan, boleh difahami kerana ahli politik itu keberatan untuk menyerahkan tampuk kepada Anwar semasa PH berkuasa.
“Tetapi hakikatnya peluang terbaik Anwar untuk menjadi perdana menteri masih menerusi PH.”