PNB siasat percanggahan berkait kelayakan, pengalaman kerja bekas ketua eksekutif

PNB berkata, maklum balas terperinci akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti setelah selesai siasatan berhubung isu kelayakan dan pengalaman kerja Abdul Jalil Rasheed dalam masa terdekat.

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah menubuhkan pasukan siasatan untuk menyiasat dakwaan percanggahan mengenai kelayakan akademik dan pengalaman kerja bekas presiden dan ketua eksekutif kumpulannya , Abdul Jalil Rasheed.

Dana milik negara terbesar di Malaysia itu berkata, tindakan tersebut berkaitan kenyataan umum yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam berhubung serahan maklumat untuk pelantikan bekas PGCE PNB.

“PNB memandang serius kenyataan umum tersebut dan ingin menyatakan bahawa pasukan siasatan telah ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini.

“Respons awal diberikan kepada SC hari ini dan maklum balas terperinci akan dikemukakan setelah selesai siasatan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

PNB berkata, pihaknya akan terus memberi kerjasama penuh kepada SC dan mana-mana badan kawal selia yang berkenaan berhubung perkara ini, seperti yang di lakukan dalam semua urusan sebelum ini.

Semalam, SC berkata, ia dimaklumkan baru-baru ini bahawa terdapat percanggahan dalam serahan maklumat oleh PNB berhubung kelayakan akademik dan pengalaman kerja bekas PGCEnya.

“SC mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkaitan berhubung percanggahan ini. Respons PNB kepada pertanyaan SC masih belum selesai,” katanya.