Bapa terkejut kanak-kanak pakai pelindung muka, pelitup sekali gus

Seorang ibu berkata pemakaian pelindung muka lebih selesa berbanding pelitup muka dan sudah memadai.

PETALING JAYA: Baru sahaja 2 hari sesi persekolahan bagi murid pra sekolah bermula, timbul rungutan ibu bapa yang kurang senang dengan SOP pemakaian pelitup muka dalam kalangan anak mereka.

Ada antara mereka mendakwa, pemakaian pelitup muka memberi ketidakselesaan kepada anak sepanjang sesi pembelajaran dan menyukarkan anak kecil bernafas, lebih-lebih lagi mereka yang menghidap asma atau masalah pernafasan lain.

Kakitangan kerajaan, Khalil Dunnia, 37, berkata SOP berkenaan menyebabkan anaknya yang berusia 6 tahun kurang fokus dalam sesi pembelajaran dan dikuathiri memberi kesan kepada emosi dan perkembangan anak lelakinya itu.

“Selepas ambil dari sekolah tengah hari semalam, dia kelihatan lesu dan tak bermaya. Lebih-lebih lagi anak saya menghidap sinus yang teruk dan bahagian hidung memang sangat sensitif, jadi dia memang susah bernafas bila guna pelitup muka,” katanya.

Beliau berkata ada dalam kalangan kanak-kanak yang memakai pelitup muka dan pelindung muka sekali gus.

“Macam keterlaluan sangat pakai kedua-duanya. Bagi saya dengan menjaga jarak sosial dan menitik beratkan isu kebersihan, ia sudah memadai,” katanya kepada FMT hari ini.

Sementara itu, Hayati Farhan, 34, yang mempunyai 2 anak pra sekolah berusia 4 dan 6 tahun berpendapat pemakaian pelindung muka sudah memadai.

“Berbanding pelitup muka, pemakaian pelindung muka membuatkan anak lebih selesa dan mudah untuk berkomunikasi sepanjang sesi pembelajaran.

Beliau menyarankan pengurusan tadika memilih kaedah yang selamat dan selesa untuk kanak-kanak supaya semua ibu bapa lebih jelas.

Dalam pada itu, seorang guru pra sekolah di sebuah tadika kerajaan di Shah Alam berkata, pelindung muka memberi perlindungan yang lebih menyeluruh, dan boleh diulang guna selepas sanitasi.

Katanya, pelindung muka disediakan atas inisiatif ibu bapa sendiri bagi memastikan keselamatan anak lebih terjamin.

“Pada peringkat awal ini, diakui ada ibu bapa yang masih takut nak hantar anak mereka tetapi selepas pihak sekolah memberi pendedahan mengenai proses sanitasi dan langkah pematuhan, saya yakin kehadiran murid-murid akan bertambah baik,” katanya.