Patung Francis Light disimbah cat mungkin akibat protes, kata polis

Patung Francis Light di Fort Cornwallis, George Town yang disimbah cat merah. (Gambar Twitter)

GEORGE TOWN: Polis tidak menolak kemungkinan kejadian patung Kapten Francis Light di Fort Cornwallis di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, di sini disimbah cat merah dipercayai akibat protes pihak tertentu seperti di beberapa negara lain.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata pihaknya menerima laporan daripada pengurus operasi di Fort Cornwallis yang turut menjaga serta mengurus patung itu pada Selasa lalu, selepas lelaki berusia 25 tahun berkenaan mendapati ia disimbah cat merah.

“Lelaki itu tidak pasti siapakah yang melakukan perbuatan itu dan dia juga tidak mengesyaki sesiapa kerana tidak pernah mempunyai musuh atau berselisih faham dengan sesiapa.

“Terdapat kamera litar tertutup di kawasan itu, namun ia tidak memfokus kepada patung tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kejadian simbah cat itu mempunyai kaitan dengan kejadian di beberapa negara lain untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa tokoh asing semasa perang dunia pertama yang mengamalkan sistem hamba serta kolonial.

“Semakan di internet juga mendapati ada kes simbah cat pada patung George Washington Statue di New York pada 29 Jun dan patung Hubert Lyautey di Perancis pada 22 Jun serta patung Christopher Columbus di Massachusetts pada 24 Jun.”

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Nurul Syaheera Hussin di talian 04-2282222 atau mana-mana balai polis berdekatan.