165 ditahan ingkar PKPP, lebih 50% di pub dan kelab malam, kata menteri

Ismail Sabri Yaakob berkata, 14 individu direman dan 151 lagi dikompaun kerana melanggar PKPP semalam.

PETALING JAYA: Aktiviti membabitkan pub dan kelab malam ialah kesalahan terbanyak dilakukan 165 individu yang ditahan mengingkari perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pada hari ke-25 pelaksanaannya semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 96 daripada 165 individu yang ditahan polis membabitkan kesalahan berkaitan aktiviti pub dan kelab malam.

“Dua individu didapati melakukan kesalahan berkaitan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial, manakala 67 yang lain didapati melanggar SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada 165 individu yang ditahan itu, 14 direman dan 151 lagi dikompaun.

Bekalan makanan dijamin cukup

Ismail memberi jaminan kepada orang ramai yang bekalan makanan dan keperluan harian mencukupi susulan pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas 25 jenis bekalan barangan di 692 premis perniagaan semalam.

“Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan serta mudah diperolehi.

“Penguat kuasa KPDNHEP sudah melakukan 1,284 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,264 premis mematuhi SOP ditetapkan, manakala 19 lagi premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

“Satu premis juga diberi amaran oleh penguat kuasa kerana tidak patuh SOP.”

771 rakyat Malaysia pulang

Ismail berkata, 771 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan klia2 dari Singapura, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, Taiwan, Thailand, Qatar, Australia dan Korea Selatan.

“Daripada jumlah itu, 770 individu diperintahkan menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala seorang individu dibawa ke hospital.

“Polis membuat 803 pemantauan pematuhan SOP kuarantin rumah dan mendapati mereka mematuhi SOP ditetapkan.”