Pelajar Tingkatan 4, 6 sekolah berasrama kembali bersekolah 15 Julai

Kementerian Pendidikan berkata, bagi pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 di sekolah berasrama, mereka akan memulakan persekolahan pada 3 Ogos.

PUTRAJAYA: Pelajar Tingkatan 4 dan 6 semester 1 di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan kembali bersekolah pada 15 Julai ini.

Dalam kenyataannya hari ini, KPM berkata, keutamaan diberi kepada kumpulan pelajar tersebut bagi memastikan mereka mempunyai masa mencukupi untuk persediaan menduduki peperiksaan awam tahun depan.

Bagi pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 di sekolah berasrama, KPM berkata, mereka akan memulakan persekolahan pada 3 Ogos.

“Mereka akan meneruskan pembelajaran yang berasaskan ‘home-based learning’ sehingga kembali semula ke sekolah nanti,” kata kenyataan itu.

KPM berkata, keputusan itu terpakai kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM).

KPM sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sekolah bagi pelajar bukan kelas peperiksaan awam secara berperingkat mulai 15 Julai.

Dalam konteks sekolah berasrama, KPM berkata beberapa penambahbaikan dibuat ke atas tatacara pengurusan asrama berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

Penambahbaikan itu dimasukkan sebagai tambahan kepada Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dan diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan hari ini, katanya.

KPM juga tiada halangan untuk membenarkan pelajar pulang ke rumah bagi menyambut Aidiladha bersama keluarga berikutan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.