6 ke tali gantung kerana bunuh Kevin Morais

Adik Kevin Morais, Richard (tengah, litup muka) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas 6 individu kerana membunuh timbalan pendakwa raya Kevin Morais 5 tahun lalu.

Hakim perbicaraan Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati semua tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah,” katanya.

Keputusan itu akan menyaksikan bekas doktor tentera R Kunaseegaran berdepan hukuman itu bersama-sama R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath, S Nimalan dan S Ravi Chandaran.

Mereka disabitkan kesalahan membunuh Morais pada 4 September 2015 ketika mangsa dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya.