Pelik pencalonan speaker baru Dewan tiada undian, kata 6 ahli Parlimen blok bebas

Pencalonan Azhar Azizan Harun sebagai speaker dibentangkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam sidang Dewan Rakyat semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Enam ahli Parlimen blok bebas yang diketuai Dr Mahathir Mohamad berkata, “agak pelik” pencalonan Azhar Azizan Harun sebagai speaker Dewan Rakyat tidak diundi semalam sedangkan 111 ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengundi untuk menyingkirkan Mohamad Ariff Md Yusof daripada jawatan itu.

“Kami menegaskan speaker yang ada hari ini bukanlah yang dipilih ahli Dewan Rakyat kerana proses pengundian tidak
diadakan.

“Parlimen merupakan gedung bercakap. Suara rakyat mesti dimartabatkan melalui wakil rakyat di Parlimen. Apabila kedaulatan undang-undang diketepikan, institusi demokrasi negara akan tercemar dan terhakis,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Selain Mahathir, 5 ahli Parlimen lain terdiri daripada anaknya, Mukhriz (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Usul menyingkirkan Ariff sebagai speaker diluluskan dengan perbezaan 2 undi, iaitu 111 ahli Parlimen menyokong berbanding 109 wakil rakyat Pakatan Harapan yang menolaknya.

Usul menyingkirkan Ariff dan melantik Azhar dibentangkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dilaporkan berkata, pembangkang bersiap sedia untuk pilihan raya awal selepas pengundian di Dewan Rakyat semalam menyaksikan Muhyiddin mungkin tiada sokongan majoriti di Parlimen.

“Bukan majoriti mudah pun. Jelas sekali Parlimen tergantung. Pilihan raya tak lama lagi,” katanya yang menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan sebelum penggal ini tamat pada 2023.

Sementara, kumpulan 6 ahli Parlimen itu juga kesal dengan tindakan menggantikan Ariff tanpa alasan munasabah dan perbahasan tercemar dengan perbuatan biadab beberapa wakil rakyat.

“Pembangkang tidak diberi masa yang cukup untuk membahas usul yang julung kali dalam sejarah (dibentangkan di) Dewan Rakyat Malaysia.

“Begitu juga dengan kedudukan Nga Kor Ming selaku timbalan speaker Dewan Rakyat. Apabila beliau meletak jawatan, seharusnya notis 14 hari dikeluarkan bermula dari tempoh tersebut dan bersesuaian usul nombor 5 urusan mesyuarat dan usul-usul.”