TH tidak dikuasai orang bukan Islam, kata PM

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) kini mempunyai lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 billion dan tidak dikuasai orang bukan Islam, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kedudukan terkini aset TH pada 30 Jun 2020 seperti yang diumumkan dalam laporan prestasi TH setengah tahun pertama 2020 berjumlah RM78 bilion.

“Selaras dengan pelaksanaan pelan pemulihan dan penstrukturan TH, aset yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Oleh yang demikian, TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam,” kata perdana menteri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Muhyiddin menjawab soalan Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) yang bertanya mengenai kedudukan aset terkini Tabung Haji serta adakah kerajaan dulu menjual banyak aset TH dan membiarkan TH dikuasai oleh orang bukan Islam.