Polis tahan 3 lelaki tumbuk, samun jurujual dalam lif

Polis tahan 3 lelaki tumbuk, samun jurujual dalam lif

Mangsa kerugian RM25,000 dalam kejadian di Bandar Perai Jaya, Bukit Mertajam, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Shafee Abd Samad berkata, 2 daripada suspek adalah penganggur dan ketiga-tiga lelaki terbabit, yang memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, kini direman untuk siasatan lanjut.
BUKIT MERTAJAM:
Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes samun dan mencederakan seorang jurujual sehingga kerugian RM25,000 dalam lif sebuah pangsapuri ketika mangsa mahu ke rumah rakannya di Bandar Perai Jaya di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Shafee Abd Samad berkata, 3 lelaki berusia 24 hingga 32 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini sejak Khamis hingga semalam hasil risikan dan initpan dijalankan polis selepas kejadian tersebut.

“Seorang daripada mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 32 tahun merupakan dalang utama kes itu dan susulan penahanan 3 suspek tersebut.

“Polis merampas sebuah kereta Toyota Vios serta telefon bimbit jenis iPhone yang disamun daripada mangsa,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, 2 daripada suspek adalah penganggur dan ketiga-tiga lelaki itu, yang memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, kini direman untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian pada 12.15 tengah malam itu, mangsa berusia 27 tahun yang menyewa di Jelutong ingin bertemu rakan beliau yang tinggal di tingkat 16 pangsapuri tersebut sebelum didatangi 3 lelaki yang masuk bersamanya ke dalam lif.

Seorang daripada lelaki itu bertanyakan soalan kepada mangsa sebelum mereka bertindak mencekik lehernya dan berlaku pergelutan apabila mangsa cuba menyelamatkan diri.

Suspek menumbuk pipi kiri dan kanan serta mulut mangsa sebelum bertindak merampas barangan peribadi seperti dompet, kunci kereta dan telefon pintar jenis iPhone X.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.