
Menterinya, Hamzah Zainudin berkata, Rela akan bekerjasama dengan polis mengikut kaedah penggunaan senjata api yang betul dan ditetapkan pasukan penguat kuasa itu.
“Sebenarnya, sebelum ini Rela pernah dibekalkan senapang jenis ‘shotgun’, tetapi ada masalah dari segi penyalahgunaan dan penyimpanan senjata berkenaan dan SOP agak longgar, sebab itu kita mahu memperketatkan SOP penggunaan senjata api (untuk anggota Rela).
“Bukan semua anggota Rela boleh menggunakan senjata api, kita akan periksa dari segi kesihatan, termasuk penglihatannya, apabila semua mencukupi dan mampu mengendalikan senjata dan diterima baik polis, baru kita benarkan,” katanya pada Majlis Menteri Dalam Negeri Bersama Rela Larut, Matang dan Selama hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, Rela akan menjalani penstrukturan semula dari segi skop penugasan dan had umur kelayakan untuk menjadi anggota yang bukan sekadar membantu polis menjaga lalu lintas, tetapi sebagai mata dan telinga kerajaan.
“Oleh itu, bagi memastikan tahap kesiapsiagaan anggota Rela dalam menjalankan tugas dipertingkatkan, kita mahu meremajakan semula Rela kerana mahu memastikan hanya mereka yang benar-benar sihat dan layak dapat bertugas dengan sebaiknya.
“Saya ambil kira dalam waktu kita menangani pandemik Covid-19, sebagai contoh bila kita pusing (berjalan) di Kuala Lumpur, saya nampak anggota Rela yang sudah berusia bertugas membantu pasukan keselamatan lain ketika itu.
“Saya kasihan melihatnya sebab itu kita mahu yang benar-benar sihat boleh diberikan tanggungjawab melaksanakan tugas di lapangan, manakala yang sudah berusia kita berikan tugasan pentadbiran di pejabat saja.”
Hamzah berkata, kuota 10% akan diberikan kepada anak anggota Rela untuk ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kulim, Kedah tahun depan.
“Ini adalah ‘hadiah’ untuk anak-anak Rela yang layak ditempatkan di MRSM berkenaan mengikut kriteria ditetapkan.”