KDN digesa tetapkan tempoh selesai isu PATI di Sabah

PBS menyambut baik kenyataan Hamzah Zainudin yang operasi besar-besaran akan dijalankan untuk mengusir PATI di Sabah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Joniston Bangkuai menggesa Kementerian Dalam Negeri menetapkan garis masa jelas terhadap rancangan menyelesaikan isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.

Beliau yang menyambut baik amaran keras Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin kepada PATI di Sabah untuk pulang ke negara asal secepat mungkin atau berisiko ditangkap, berkata garis masa itu bukan saja dapat menunjukkan keseriusan kerajaan kepada rakyat Sabah, tetapi juga memastikan kelancaran dan kejayaan rancangan itu.

“Pengusiran itu juga harus termasuk pemegang Kad Burung-burung dan Sijil Banci yang tidak lebih daripada sekeping kertas untuk mengesahkan status mereka sebagai PATI.

Joniston Bangkuai (kiri) bersama pemimpin PBS menemui Jonathan Yasin di pejabatnya di Putrajaya semalam untuk membincangkan isu PATI di Sabah.

“Ia sangat mengharukan apabila Hamzah serius dalam menghormati janjinya untuk membebaskan Sabah daripada masalah PATI yang sudah lama wujud,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Hamzah dilaporkan berkata, operasi besar-besaran akan dijalankan sebagai sebahagian usaha untuk mengeluarkan PATI dari Sabah yang akan disusuli pengusiran ke negara asal negara.

Bangkuai berkata, PBS juga lega dengan jaminan Hamzah tidak akan mengeluarkan dokumen IMM13 lagi, seperti cadangan dalam memorandum parti itu kepadanya semasa lawatannya ke Sabah pertengahan Jun lalu.

“Diharapkan juga kerajaan mengambil langkah perlu untuk mencegah mereka yang diusir itu, masuk semula ke negeri ini dengan pemantauan ketat dan rondaan secara tetap di sepanjang pesisir pantai, khasnya jalan tikus.”

Katanya, PATI yang dihantar pulang boleh kembali ke Sabah untuk mencari kerja, dengan syarat mereka mempunyai dokumen sah.

Semalam, Joniston bersama Naib Presiden PBS, Joachim Gunsalam, Setiausaha Agungnya, Jahid Jahim dan penolongnya, Julita Majungki membangkitkan isu itu dalam pertemuan mereka dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin di pejabatnya di Putrajaya.

“Timbalan menteri memberitahu kami, beliau terbabit dalam semua perbincangan di kementeriannya untuk menyelesaikan masalah PATI.”