230 ditahan ingkar PKPP, 9 kena tindakan gagal patuhi SOP kuarantin

PETALING JAYA: Polis menahan 230 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu, seramai 13 individu direman manakala 2 individu lagi dijamin, sementara 215 individu lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (22), aktiviti yang tidak mengikuti SOP (49), premis beroperasi lebih masa (1), tidak memakai pelitup muka (26), dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (128) serta melanggar perintah kuarantin (2) dan gagal melunaskan kos kuarantin (2),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata seramai 9 individu diambil tindakan kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah seperti yang ditetapkan.

“Semalam (10 Ogos), polis melakukan 1,445 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu tebabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, beliau berkata, polis menahan 2 individu atas kesalahan imigresen.

“Semalam, polis membuat 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 27,200 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin terutamanya di lorong tikus.”