Polis nafi tutup sempadan Perak ke Kedah di Gerik

Ketua polis daerah Gerik Zulkifli Mahmood berkata polis sedang mengesan individu yang menyebarkan berita palsu itu dan orang ramai diingatkan supaya tidak menularkan sesuatu yang tidak benar. (Gambar Facebook)

IPOH: Polis menafikan dakwaan tular laluan sempadan negeri di Jalan Gerik-Kupang, Gerik ke daerah Baling, Kedah ditutup susulan kluster baharu berkaitan wabak Covid-19 iaitu kluster Tawar dikesan di Kedah.

Ketua polis daerah Gerik Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya tidak menutup laluan keluar masuk Perak ke Kedah seperti didakwa dan gambar yang ditularkan adalah operasi bersepadu dijalankan polis semalam.

“Operasi itu hanya diadakan pada waktu tertentu dan ia dilaksanakan bagi membuat pemeriksaan seperti kesalahan lalu lintas dan sebagainya.

“Polis sedang mengesan individu yang menyebarkan berita palsu ini dan orang ramai diingatkan supaya tidak menularkan sesuatu yang tidak benar kerana boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan atau maklumat sahih boleh menghubungi bilik gerakan ibu pejabat polis daerah Gerik di talian 05 7911222.

Kementerian Kesihatan semalam dilaporkan mengesan 1 lagi kluster baharu berkaitan wabak Covid-19 iaitu kluster Tawar di Kedah melibatkan 10 kes positif dengan kes pertama kluster itu adalah kes ke-9,113 yang dikesan positif Selasa lepas sementara 9 kes lagi dilaporkan positif semalam.