Kerajaan Pulau Pinang mahu penjelasan status projek PPR

Kerajaan Pulau Pinang mahu penjelasan status projek PPR

Ketua menteri Chow Kon Yeow sudah bertanya kepada KPKT pada 11 Ogos mengenai pelaksanaan projek PPR di seluruh negara tahun ini.

Exco perumahan, kerajaan tempatan dan perancangan bandar dan desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata tiada projek PPR disenaraikan di Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan status terkini projek perumahan rakyat (PPR) di negeri ini.

Exco perumahan, kerajaan tempatan dan perancangan bandar dan desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sudah bertanya kepada KPKT pada 11 Ogos mengenai pelaksanaan projek PPR di seluruh negara tahun ini dan jumlah kosnya.

Beliau berkata, KPKT membalas dengan sepucuk surat rasmi menyatakan walaupun tiada projek PPR baharu yang diluluskan, 11 projek PPR sedia ada di bawah “Rolling Plan” ke-4 tahun ini dilaksanakan dengan jumlah anggaran kos sebanyak RM890 juta.

“Menurut surat itu, pelaksanaan projek PPR yang diluluskan terletak di Johor, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Sabah. Pulau Pinang tidak termasuk,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau memetik kenyataan ketua setiausaha KPKT Mohammad Mentek pada Disember tahun lalu yang menyatakan kerajaan persekutuan akan membina 14 projek PPR pada 2020.

“Kami mahukan penjelasan daripada KPKT mengenai status projek PPR di Pulau Pinang. Kami berharap kementerian akan mengkaji dan mempertimbangkan semula untuk memberi keutamaan kepada Pulau Pinang (dengan meluluskan projek PPR kami),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.