MRT Corp kumpul maklum balas terhadap pindaan LRT P Pinang

MRT Corp kumpul maklum balas terhadap pindaan LRT P Pinang

Sesi itu menumpukan kepada lanjutan jajaran menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Perai.

lrt penang bernama pic 21825
LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara dijangka beroperasi pada Disember 2031. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan melaksanakan sesi pemeriksaan awam bagi mendapatkan maklum balas terhadap pindaan skim LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara.

MRT Corp dalam kenyataan, berkata sesi itu menumpukan kepada lanjutan jajaran menghubungkan bahagian pulau dan Seberang Perai.

Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian usaha berterusan untuk mempertingkatkan kesalinghubungan di Pulau Pinang.

“Sesi pemeriksaan awam akan berlangsung selama tiga bulan bermula 24 Feb hingga 24 Mei, bagi memberi peluang kepada orang awam meneliti serta memberikan maklum balas terhadap lanjutan jajaran, lokasi stesen, dan butiran projek berkaitan.

“Pindaan skim LRT berkenaan merangkumi beberapa penambahbaikan terhadap skop projek, khususnya lanjutan jajaran rel merentasi laut yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar Seberang Perai,” menurut kenyataan itu.

Jajaran rentas laut kira-kira enam kilometer itu akan menghubungkan Komtar dan Penang Sentral, dengan anggaran masa perjalanan sekitar lapan minit.

Penang Sentral akan dibangunkan sebagai stesen utama di Seberang Perai serta hab pengangkutan multimodal yang mengintegrasikan perkhidmatan feri, rel KTMB, dan bas sedia ada.

MRT Corp berkata, pelaksanaan LRT Laluan Mutiara akan memperkukuh akses mobiliti komuniti di Seberang Perai, dengan skim dipinda turut memperuntukkan kira-kira 1,000 petak parkir tambahan di Penang Sentral.

Melalui hab itu, katanya, penumpang akan menikmati kesalinghubungan terus ke destinasi utama seperti Komtar, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

MRT Corp berkata, susulan penstrukturan semula pembangunan Penang South Reclamation (PSR) daripada tiga pulau kepada satu pulau, skim dipinda melibatkan penyelarasan semula terhadap jajaran asal, termasuk pengguguran jajaran sepanjang 3.15km di PSR serta tiga stesen iaitu A2, A3, dan A4.

Namun, MRT Corp mengekalkan jajaran sepanjang 1.5km di pulau PSR, manakala Stesen A1 (PSR-A) diklasifikasikan semula sebagai stesen provisional bagi menyokong pembangunan masa hadapan apabila pertumbuhan penduduk meningkat.

Selain itu, pindaan turut melibatkan penambahan stesen di Penang Sentral dan Bagan Luar (provisional), serta pembinaan depoh sekunder untuk simpanan kereta api di Tapak Pesta Sungai Dua.

Secara keseluruhan, LRT Laluan Mutiara yang bernilai RM16.8 bilion akan merangkumi jajaran kira-kira 29.67km dengan 20 stesen dan dua stesen provisional (PSR-A dan Bagan Luar). Kerja pembinaan bermula pada 2025 dan perkhidmatan rel dijangka mula beroperasi pada Disember 2031.

Sebagai sebahagian pelaksanaan sesi pemeriksaan awam, MRT Corp akan membuka reruai di beberapa lokasi utama sekitar Pulau Pinang termasuk Komtar, Penang Sentral, dan Stesen KTM Butterworth dengan jadual penuh serta senarai lokasi boleh dirujuk di www.mymrt.com.my.

Orang ramai yang tidak dapat hadir ke reruai boleh mengakses maklumat dan mengemukakan maklum balas secara dalam talian melalui laman web itu sepanjang tempoh tiga bulan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.