Polis cedera ditikam ketika cuba tahan penagih dadah

Polis cedera ditikam ketika cuba tahan penagih dadah

Polis berkata, salah seorang suspek mengeluarkan sebilah pisau dan terus menyerang anggota polis, manakala seorang lagi suspek merempuh dan menumbuk seorang anggota polis yang cuba menahan mereka.

Anggota polis menunjukkan kecederaan di lengan yang ditikam dengan pisau sepanjang 32cm ketika cuba menahan 2 penagih dadah di Taman Puri Warisan, Inanam semalam. (Gambar ihsan polis)
KOTA KINABALU:
Seorang anggota polis cedera ditikam ketika cuba menahan 2 penagih dadah di Taman Puri Warisan, Inanam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.35 tengah hari apabila 2 lelaki itu sedang menghisap dadah di bawah tangga di kawasan perumahan itu.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, 2 suspek itu terus membuang 2 paket syabu sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun, salah seorang suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau dan terus menyerang anggota polis.

“Seorang lagi suspek merempuh dan menumbuk salah seorang anggota polis yang cuba menahan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang anggota polis ditikam suspek pada bahagian lengan dan rusuk kiri ketika pergelutan.

Katanya, 2 suspek berusia 33 dan 39 tahun itu kemudiannya ditahan polis, manakala sebilah pisau berukuran 32cm, sebilah gunting dan 2 paket syabu seberat 0.2g yang bernilai RM20 dirampas.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.”

Katanya, anggota polis yang cedera itu dirawat di Hospital Queen Elizabeth dan sudah dibenarkan keluar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.