Mahkamah tolak cabar bubar DUN Sabah

Mahkamah tolak cabar bubar DUN Sabah

Hari penamaan calon ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 12 September dan pengundian pada 26 September berjalan seperti dijadualkan.

Seramai 33 bekas Adun Sabah diketuai Musa Aman mencabar keputusan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan 33 Adun Sabah untuk mencabar persetujuan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan itu membolehkan hari penamaan calon ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 12 September dan pengundian pada 26 September ini berjalan seperti dijadualkan.

Panel 3 hakim dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil yang menyampaikan keputusan itu berkata, tidak ada kesalahan oleh pesuruhjaya kehakiman Leonard David Shim dalam menolak permohonan untuk semakan kehakiman pada 21 Ogos.

“Rayuan itu ditolak dan kami mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Karim.

Beliau berkata, Juhar melaksanakan bidang kuasanya dengan betul mengikut perlembagaan Sabah dalam membubarkan DUN.

“Mahkamah tidak boleh mencampuri urusan berkaitan pembubaran. Yang di-Pertua Negeri menggunakan budi bicaranya berlandaskan perlembagaan Sabah,” katanya.

Panel lain adalah Abu Bakar Jais dan Supang Lian. Karim berkata hakim akan memberikan penghakiman bertulis kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.