Johor benar aktiviti agama di masjid, surau mulai Jumaat ini

Johor benar aktiviti agama di masjid, surau mulai Jumaat ini

Kebenaran itu diperkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai ketua agama Islam negeri.

Tiada jumlah jemaah yang dihadkan dalam sebarang aktiviti keagamaan di Johor namun perlu mengikut keluasan masjid dan surau serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan negeri membenarkan semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti keagamaan di semua masjid dan surau di negeri itu bermula Jumaat ini, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi.

Katanya, kebenaran itu diperkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai ketua agama Islam negeri mengikut peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Beliau berkata, tiada jumlah jemaah yang dihadkan dalam sebarang aktiviti keagamaan itu, namun perlu mengikut keluasan masjid dan surau serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), aktiviti seperti program membudayakan al-Quran dan As-Sunnah dibenarkan tidak melebihi 30 minit selepas solat.

“Selain itu, program bacaan Yassin dan tahlil dalam tempoh selepas solat Maghrib sehingga Isyak dibenarkan mengikut had waktu dibenarkan,” katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar hari ini.

Hadir sama Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Noh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Md Rofiki A Shamsudin.

Tosrin berkata, program dakwah seperti kursus jenazah, haji dan umrah, kursus pra perkahwinan, kelas pengajian al-Quran dan program hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul juga boleh dilaksanakan.

“Justeru, semua pihak yang terlibat dengan pengurusan masjid dan surau serta umat Islam di negeri ini perlu mematuhi arahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.