Musa, Rahman tiada dalam senarai 31 calon Bung

Musa, Rahman tiada dalam senarai 31 calon Bung

Bung Moktar Radin akan bertanding di DUN Lamag dan Salleh Said Keruak di DUN Usukan..

Musa Aman (kiri) dan Abdul Rahman Dahlan mungkin tidak bertanding pada PRN Sabah 26 Sept ini.
KOTA KINABALU:
Umno akan bertanding 31 kerusi pada pilihan raya Sabah akhir bulan ini, tetapi 2 nama orang kuat Umno Sabah, Musa Aman dan Abdul Rahman Dahlan, tiada dalam senarai yang diumumkan ketuanya, Bung Moktar Radin.

Bung mengumumkan 95% calon Umno muka baharu. Selain mereka, Bung turut mengumumkan namanya sendiri dan bekas menteri Salleh Said Keruak.

Bung akan bertanding di DUN Lamag, yang terletak bawah Parlimen Kinabatangan yang disandangnya, manakala Salleh akan bertanding di DUN Usuakan di Parlimen Kota Belud.

“Kita hormat semua pemimpin termasuk Musa tetapi dia tidak pernah memohon untuk menjadi calon BN,” katanya, dan menambah bekas ketua menteri itu juga tidak pernah ditawarkan untuk menjadi calon gabungan itu.

Bung bagaimanapun mengesahkan Musa ada melobi sebuah kerusi. Terdahulu, media melaporkan Musa “akan kembali” ke Sungai Manila, salah satu daripada 13 kerusi baharu pada PRN kali ini.

Musa merupakan bekas ketua Umno negeri, manakala Rahman pula masih ahli majlis tertinggi Umno.

Bung menjelaskan pemillihan calon berdasarkan beberapa kriteria iaitu mesra rakyat, komited untuk bekerja untuk rakyat, dan boleh menang.

Di Sungai Sibuga, yang disandang Musa, Bung meletakkan Mohammad Hamsan Awang Supian. Sementara di Sungai Manila, Bung meletakkan Mokran Ingkat.

Antara muka lama Umno yang tercalon adalah bekas ahli Parlimen Jumat Idris dan Raime Unggi. James Ratib, yang berhijrah ke Umno dan kemudian keluar parti, akan mempertahankan DUN Sugut.

Umno juga menyasarkan DUN Paginatan, kerusi majoriti Kadazan-Dusun-Murut, yang sebelum ini disangkan bekas wakil rakyat Upko, Abidin Madingkir, salah seorang penyokong Musa.

Ditanya kenapa BN dan PPBM Sabah tidak mengumumkan calon secara bersama, Bung berkata PPBM mahu mengumumkan calon sendiri.

Berikut senarai calon Umno Sabah:

  • Akram Ismail (Banggi)
  • Harun Durabi (Bengkoka)
  • Sufian Abdul Karim (Pitas)
  • Mohd Arsad Bistari (Tempasuk)
  • Salleh Said Keruak (Usukan)
  • Jasnih Daya (Pantai Dalit)
  • Yakubah Khan (Karambunai)
  • Jumat Idris (Darau)
  • Mohd Reduan Aklee (Tanjung Aru)
  • Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat)
  • Mohd Tamin Zainal (Pantai Manis)
  • Ag Lahap Ag Bakar (Bongawan)
  • Kamarlin Ombi (Lumadan)
  • Sani Miasin (Sindumin)
  • Raime Unggi (Kemabong)
  • Abdul Wahab Abdul Gani (Telupid)
  • James Ratib (Sugut)
  • Suhaimi Nasir (Gum-Gum)
  • Mokran Ingkat (Sungai Manila)
  • Mohammad Hamsan Awang Supian (Sungai Sibuga)
  • Hazulizah Md Dani (Sekong)
  • Juhari Janan (Kuamut)
  • Bung Moktar Radin (Lamag)
  • Jafry Ariffin (Sukau)
  • Abd Momen Anchai (Tunku)
  • Halid Harun (Kunak)
  • Abdul Manan Indanan (Sulabayan)
  • Hamid Awang (Balung)
  • Chaya Sulaiman (Kukusan)
  • Andi Muhammad Surady Bandy (Tanjung Batu)
  • Junaidi Sahat (Paginatan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.