Mahkamah tolak tangguh PRN Sabah

Mahkamah tolak tangguh PRN Sabah

Berikutan keputusan itu hari penamaan calon dijadualkan esok dan pengundian pada 26 September ini diteruskan.

Jahid Jahim dalam permohonannya menyatakan, keputusan Yang di-Pertua Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri ke-15 pada 30 Julai perlu ditangguhkan sehingga tuntutan itu ditolak.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 sementara menunggu penyelesaian pertikaian antara “2 ketua menteri” Musa Aman dan Shafie Apdal.

Berikutan keputusan itu, hari penamaan calon dijadualkan esok dan pengundian pada 26 September ini diteruskan.

Selasa lalu, bekas Adun Tamparuli Jahid @ Noordin Jahim mengemukakan permohonan, dengan menyatakan keputusan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan DUN ke-15 pada 30 Julai perlu ditangguhkan sehingga tuntutan itu ditolak.

Pengerusi panel hakim Abdul Rahman Sebli berkata, mahkamah amat menghargai kepentingan menjaga integriti rayuan Musa.

“Bagaimanapun, kami juga berhati-hati untuk menjaga integriti proses demokrasi melalui pilihan raya,” katanya ketika menyampaikan keputusan sebulat suara.

Panel lain adalah Zabariah Mohd Yusof dan Mary Lim Thiam Suan.

Rahman berkata, panel mempertimbangkan perkara itu dengan serius, demi kepentingan awam mengatasi kepentingan Jahid.

“Kami tidak yakin ini adalah kes yang sesuai dan tepat untuk membenarkan penangguhan. Oleh itu, permohonan ini ditolak,” katanya.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Jahid, kemudian meminta mahkamah menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan Musa.

“Kamu perlu menulis kepada mahkamah,” kata Rahman.

Musa hadir mengikuti prosiding hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.