Lebih mudah bangunkan Sabah lepas menang pilihan raya, kata Muhyiddin

Lebih mudah bangunkan Sabah lepas menang pilihan raya, kata Muhyiddin

Perdana Menteri berkata ia tidak bermakna akan meminggirkan pembangunan di negeri yang ditabdir pembangkang.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata jurang pembangunan dan taraf sosio-ekonomi antara rakyat di Semenanjung dan Sabah masih jauh ketinggalan dan mempunyai jurang yang besar.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata usaha untuk terus membangunkan Sabah kini menjadi lebih mudah, selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh kemenangan pada pilihah raya negeri.

Katanya, tidak bermakna beliau akan meminggirkan pembangunan di negeri yang ditabdir pembangkang, tetapi baginya persefahaman antara kerajaan negeri dan persekutuan amat penting.

“Kita sudah menang di Sabah, ia memudahkan lagi proses. Bukanlah kata jika ia dimenangi pembangkang akan menjadi susah, tetapi akan menjadi lebih mudah merancang dan duduk bersama. Begitu juga di Sarawak, yang kita akan lihat terperinci.

“Saya tahu Sabah masih memerlukan sokongan infrastruktur, pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan. Kita ada senarai panjang yang perlu dilakukan,” katanya dalam sesi Balai Rakyat Makmur Bersama hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dibangkitkan peserta, membabitkan jurang antara rakyat di Semenanjung dan Sabah, serta bagaimana usaha Putrajaya mengatasinya dalam Wawasan Kemakmuran Bersama.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengakui jurang pembangunan dan taraf sosio-ekonomi antara rakyat di Semenanjung dan Sabah masih jauh ketinggalan dan mempunyai jurang yang besar.

“Saya baru balik dari Sabah, saya turun ke lapangan dan saya lihat sendiri pelbagai perkara seperti isu pembangunan, saya makan malam dengan keluarga Veveonah Mosibin.

“Alhamdulillah, kita dapat bantu dia, tapi masalahnya hanya dia seorang sahaja. Tetapi di Sabah berapa juta orang di sana. Mengenai tuntutan Perjanjian Malaysia 1963, itu adalah sebahagian besar. Banyak yang kita akan kenal pasti,” katanya.

Katanya, usaha serius untuk terus membangunkan negeri itu juga dapat dilihat apabila beliau sendiri melantik Maximus Ongkili sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

“Beliau sudah kemukakan 1 kertas jemaah menteri minggu lepas, kita tidak boleh bincang di situ sahaja. Di situ, disenaraikan puluhan atau jika tidak ratusan isu tertentu. Itu di Sabah dan tidak terkecuali di Sarawak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.