
Presidennya Dr Subramaniam Muniandy berkata, tempoh lanjutan 10 tahun itu selaras cadangan persatuan lain termasuk Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) MMA.
“Ini tidak boleh dilihat sebagai perbelanjaan tetapi sebagai pelaburan untuk generasi pakar akan datang.
“Dalam jangka panjang, lanjutan kontrak kepada 10 tahun akan menjimatkan simpanan bagi kerajaan kerana kita akan mempunyai pakar terlatih yang cukup tanpa perlu mengimport pakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan kontrak secara “one-off” bagi 2,070 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi disambung selama 6 bulan lagi.
Ia membabitkan 79 pegawai perubatan (yang melengkapkan khidmat wajib sahaja kerana mengikuti latihan siswazah di luar negara), 852 pegawai pergigian dan 1,139 pegawai farmasi yang menamatkan latihan atau khidmat wajib dengan peruntukan sebanyak RM81 juta.
Dalam pada itu, MMA bersetuju kos penjagaan kesihatan semakin meningkat di negara ini dan usaha untuk mengekalkan jawatan tetap jangka panjang tidak dapat dielakkan.
“Bagaimanapun, isu penghijrahan individu (brain drain), latihan pakar yang mencukupi dan keyakinan diri dalam kalangan doktor junior adalah perkara yang harus dipertimbangkan.
“Seperti yang ditekankan sebelum ini, sebarang keputusan dibuat pada hari ini akan dapat dilihat kesannya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya.