
Beliau berkata, kluster itu adalah kluster Batu, Perak dan kluster Ramai-Ramai, Sabah.
“Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Taiping, Perak. Kluster ini dikenal pasti hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.
“Hasil saringan ini mendapati sebanyak 7 kes dikesan positif Covid-19 pada 5 Oktober lalu dan mereka semua dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,” katanya pada sidang media hari ini yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM).
Hisham berkata, 1 lagi kluster baharu iaitu kluster Ramai-Ramai dikesan di Sandakan, Sabah.
Katanya, kluster itu (iaitu kes ke-12,161) merupakan seorang pemandu bas dan mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September lalu.
“Kes dikesan positif Covid-19 pada 3 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.
“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 19 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti,” katanya.
90 kontak rapat menteri agama negatif
Dalam perkembangan lain, Hisham berkata 90 individu disaring termasuk jemaah menteri mempunyai kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri didapati negatif.
Beliau berkata, setakat ini pejabat kesihatan daerah berkaitan masih dalam proses mengenalpasti kontak rapat Zulkifli dan menjalankan penilaian risiko serta saringan.
“Pejabat kesihatan daerah akan umum proses kenalpasti kontak lain dan situasi semasa akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Semalam, Zulkifli mengesahkan beliau positif Covid-19, selepas Hisham memaklumkan seorang individu yang menghadiri mesyuarat khas Covid-19 pada 3 Oktober lalu di Jabatan Perdana Menteri disahkan positif virus itu.
Hisham berkata, semua yang menghadiri mesyuarat itu menjalani pemeriksaan kesihatan dan diuji untuk Covid-19.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang mempengerusikan mesyuarat itu kemudian berkata beliau akan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.