Pemuda Arab menyamar dari UAE ‘troll’ warga Tel Aviv

Pemuda Arab menyamar dari UAE ‘troll’ warga Tel Aviv

Empat pemuda menggayakan jubah Arab Teluk terkejut dengan layanan luar biasa warga Tel Aviv.

Tangkap layar video memaparkan empat pemuda Arab di Israel menyamar sebagai Arab UAE untuk mengusik warga Tel Aviv. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Empat pemuda Arab di Israel menjadi perbualan warganet apabila mereka memperdaya warga Tel Aviv dengan menyamar sebagai Arab dari Emiriah Arab Bersatu, lapor laman berita, Middle East Eye.

Warga Tel Aviv, yang teruja melihat kedatangan orang ‘Arab UAE’ itu, berpusu-pusu mahu bergambar dengan mereka, aksi yang mengundang pelbagai reaksi daripada penonton video yang tular di Twitter itu.

Video memaparkan empat pemuda Palestin dari pekan Kfar Qasim berdekatan Tebing Barat, berjalan di sebuah bandar di daerah Tel Aviv sambil menggayakan jubah putih dan selendang yang biasa digayakan orang Arab Teluk.

Mereka terkejut dengan sambutan yang diberikan warga Tel Aviv, sama sekali berbeza dengan layanan biasa terhadap orang Palestin, menurut laporan itu.

“Mereka sangka kami dari Dubai dan mahu bergambar dengan kami,” kata seorang pemuda, dalam video 5 Dis itu, yang ketika berita ini ditulis mendapat lebih 365,000 tontotan.

Perkembangan ini berlatarkan perjanjian normalisasi antara UAE dan Israel, yang mengundang kontroversi di dunia Arab.

“Orang Israel beratur untuk bergambar dengan orang Palestin ‘undercover’. ‘Trolling’ tahap tinggi,” kata seorang pengguna.

Ketika Perang Suez dengan Mesir, satu platun polis sempadan Israel pada 29 Okt 1956 yang dikerah ke Kfar Qasim membunuh 48 peladang Arab, termasuk 23 kanak-kanak dan 6 wanita, yang pulang dari bekerja di ladang.

Semua polis yang terbabit dipenjarakan tetapi dibebaskan selepas setahun. Komander briged itu pula didenda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.