
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menerusi kenyataan berkata, pelajar berusia 16 tahun itu ialah individu termuda ditahan di bawah undang-undang itu dan tahanan pertama didorong ideologi ekstremis kanan.
“Dia meradikalkan dirinya, dimotivasi antipati kuat terhadap Islam dan tertarik kepada keganasan. Dia menonton video siaran langsung serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand serta membaca manifesto penyerang, Brenton Tarrant,” menurut jabatan itu.
Pelajar Singapura itu melukis peta untuk laluannya dan memilih dua masjid berdekatan rumahnya di utara Singapura.
Menurut jabatan itu, remaja terbabit turut membeli jaket kalis peluru dan merancang membeli parang dalam talian dengan niat untuk menyiarkan serangannya secara langsung.
Pada mulanya, pelajar itu mahu mendapatkan senjata dan meneroka kaedah membuat bom, serta meniru rancangan Tarrant membakar masjid dengan petrol.
Dia akhirnya melepaskan semua idea itu selepas menyedari Singapura mempunyai undang-undang ketat kawalan senjata api dan keputusan itu sebahagiannya didorong masalah keselamatan diri dan logistik.