
Ivermectin menyebabkan pengurangan replikasi virus dalam kajian makmal, kata universiti itu sambil menambah sebilangan kecil subjek rintis menunjukkan pemberian ubat itu lebih awal boleh mengurangkan beban virus dan tempoh simptom dalam sesetengah pesakit dengan Covid-19 ringan.
Digelar PRINCIPLE, kajian British pada Januari itu menunjukkan antibiotik azithromycin dan doxycycline secara amnya tidak berkesan terhadap jangkitan peringkat awal Covid-19.
Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia, negara Eropah dan Amerika Syarikat tidak mengesyorkan penggunaan ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19, tetapi ia tetap digunakan di sesetengah negara, termasuk India.
“Dengan menyenaraikan ivermectin dalam ujian berskala besar seperti PRINCIPLE, kami berharap boleh mendapat bukti kukuh untuk menentukan keberkesanan rawatan itu terhadap Covid-19, serta sama ada terdapat manfaat atau bahaya berkaitan penggunaannya,” kata penyelidik utama bersama ujian itu, Chris Butler.
Universiti Oxford berkata, pesakit dengan keadaan hati yang serius, yang menggunakan ubat mencairkan darah warfarin, atau rawatan lain yang diketahui boleh bertindak balas dengan ivermectin, akan dikecualikan daripada ujian itu.
Universiti itu berkata, Ivermectin ialah rawatan ketujuh yang diuji, dan sedang dinilai bersama ubat antivirus favipiravir.