Migran di kem Libyan dipaksa lakukan seks untuk dapat air, kata Amnesty

Migran di kem Libyan dipaksa lakukan seks untuk dapat air, kata Amnesty

Sesetengah wanita yang hamil di dalam kem memberitahu Amnesty, mereka dirogol berulang kali oleh pengawal, manakala lelaki mengadu mereka dipaksa hanya berseluar dalam untuk mengaibkan mereka.

Migran di kem tahanan Libya dipaksa melakukan hubungan seks dengan pengawal untuk mendapatkan air bersih, makanan dan akses sanitasi.
BRUSSELS:
Amnesty International berkata, migran di kem tahanan Libya menghadapi keganasan seksual mengerikan disebabkan pengawal, termasuk dipaksa mengadakan hubungan seks untuk mendapatkan air bersih, makanan dan akses sanitasi.

Laporan itu, yang memfokuskan migran dipintas di Mediterranean dan mendarat di Libya pada 2020 serta 2021, menunjukkan keadaan semakin teruk di kem terbabit, walaupun ia diletakkan di bawah kawalan Kementerian Dalam Negeri Libya baru-baru ini.

Pope Francis dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa kem itu ditutup.

Pengawal kem itu berkata “mungkin kamu mahu air bersih dan katil…biar saya mengadakan hubungan seks dengan kamu supaya saya boleh bebaskan kamu”, seorang wanita beritahu Amnesty.

Seorang daripada beberapa wanita berkata, pengawal merogol dan memaksa wanita mengadakan hubungan seks untuk menukar kebebasan mereka atau air bersih.

Penemuan itu hasil wawancara dengan 53 pelarian dan migran berusia 14 hingga 50 tahun dari negara seperti Nigeria, Somalia serta Syria, kebanyakannya masih di Libya selepas berjaya melarikan diri dari kem atau mempunyai akses telefon.

Sesetengah wanita yang hamil di dalam kem memberitahu Amnesty, mereka dirogol berulang kali oleh pengawal, manakala lelaki mengadu mereka dipaksa hanya berseluar dalam untuk mengaibkan mereka.

Individu lain, termasuk kanak-kanak lelaki, mendakwa mereka diraba dan dicabul.

Layanan tidak berperikemanusiaan itu menyusul pelbagai laporan sejak 2017 berkaitan migran dipukul, diseksa, kekurangan sanitasi dan makanan.

Amnesty berkata, kira-kira 15,000 orang kembali ke Libya dalam enam bulan pertama tahun ini, selepas dipintas pengawal pantai Libya yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU). Angka itu lebih ramai daripada jumlah keseluruhan pada 2020.

Walaupun data tidak boleh dipercayai, Amnesty berkata, kira-kira 6,100 orang dipindahkan ke kem menjelang akhir bulan lalu.

Meskipun puak yang bertempur di Libya melaksanakan gencatan senjata sejak Oktober lalu sebagai sebahagian daripada rancangan damai disokong PBB susulan kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011, kumpulan bersenjata masih mempunyai kuasa di lapangan, dengan ada yang menguasai kem migran.

Beberapa penggubal undang-undang EU menggesa Suruhanjaya Eropah, eksekutif EU, berhenti membiayai pengawal pantai Libya kerana negara itu “tidak selamat” untuk migran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.