Rakyat Iraq keluar mengundi dalam pilihan raya awal

Rakyat Iraq keluar mengundi dalam pilihan raya awal

Undian dibuka pada 7 pagi, tetapi tidak ramai yang hadir awal di pusat mengundi di Baghdad.

Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhimi (tengah) membuang undi di Baghdad hari ini. (Gambar AP)
BAGHDAD:
Rakyat Iraq keluar mengundi hari ini pada pilihan raya awal yang dianggap hasil protes anti-kerajaan namun dijangka akan diboikot oleh ramai pengundi yang tidak percaya janji kerajaan mengenai perubahan.

Undian dibuka pada 7 pagi, tetapi tidak ramai yang hadir awal di pusat mengundi yang didirikan di sebuah sekolah di pusat Baghdad.

“Saya datang mengundi demi perubahan lebih baik buat negara, dan menukar pemimpin semasa yang tidak cekap,” kata Jimand Khalil, 37, antara yang hadir awal untuk mengundi.

“Mereka buat banyak janji, tetapi tidak bawa sebarang perubahan buat kami.”

Ibu negara Iraq ini dikawal ketat, dengan pengundi diperiksa dua kali di pintu masuk pusat pengundian, manakala lapangan terbang di seluruh negara ditutup sehingga Isnin.

Undian dibuka hingga 6 petang, dengan keputusan awal dijangka dalam tempoh 24 jam selepas undian ditutup.

Pilihan raya ini mendapat perhatian sedunia, dengan pemerhati dari Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dikerah mengawasi undian.

Perdana Menteri Mustafa al-Kadhimi mengundi awal di Zon Hijau Baghdad yang dikawal ketat.

“Ini adalah peluang untuk perubahan,” katanya.

“Keluar mengundi dan ubah realiti anda, demi Iraq dan masa depan anda,” gesa Mustafa, yang masa depannya dalam arena politik tidak dapat dijamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.