
“Di Ecuador, vaksin Covid-19 diisytiharkan sebagai wajib. Pemberian vaksin diwajibkan kepada individu berusia lima tahun ke atas,” kata Kementerian Kesihatannya.
Setakat ini, sebanyak 69% daripada 17.7 juta populasi negara itu telah menerima dua dos vaksin, manakala 900,000 lagi telah menerima dos penggalak.
Semua yang berusia lima tahun ke atas layak diberi suntikan vaksin.
Ecuador merekodkan hampir 540,000 kes Covid-19 setakat ini dengan 33,600 kematian.
Kementerian itu juga berkata, individu yang tidak dapat mengambil vaksin atas sebab perubatan akan diberikan pengecualian.
Bagi menangani penularan varian Omicron yang mula dikesan seminggu lalu, Ecuador turut mewajibkan rakyatnya menunjukkan rekod vaksin untuk masuk ke restoran, pusat beli-belah, pawagam, serta pelbagai tempat awam lain.