Polis Paris lepaskan tembakan, 2 maut

Polis Paris lepaskan tembakan, 2 maut

Menurut sumber polis, kereta itu dilaporkan cuba merempuh anggota yang sedang bertugas di jambatan Pont Neuf berhampiran Muzium Louvre.

Pihak berkuasa mengadakan kawalan keselamatan yang ketat di Paris berikutan pilihan raya presiden pusingan kedua yang diadakan pada Ahad. (Gambar AP)
PARIS:
Sebuah kereta cuba melanggar anggota polis pada Isnin, memaksa polis Paris melepaskan tembakan hingga mengakibatkan dua maut.

Menurut sumber polis, kereta itu dilaporkan cuba merempuh anggota yang sedang bertugas di jambatan Pont Neuf berhampiran Muzium Louvre.

Polis mengarahkan pemandu supaya menghentikan kenderaan tetapi tidak diendahkan, memaksa pihak polis melepaskan tembakan, lapor agensi Anadolu.

Pemandu dan penumpang di kerusi hadapan maut manakala seorang lagi penumpang di bahagian belakang cedera.

Punca kejadian masih disiasat.

Pihak berkuasa mengadakan kawalan keselamatan yang ketat di Paris berikutan pilihan raya presiden pusingan kedua yang diadakan pada Ahad.

Sementara itu, ratusan penunjuk perasaan anti-Macron yang menggelar diri mereka sebagai “anti-fasis,” bertempur dengan polis di Dataran Republik.

Protes yang sama turut berlaku di bandar Rennes dan Nantes.

Kira-kira 250 penunjuk perasaan membakar tong sampah di sepanjang jalan memaksa polis menggunakan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan.

Pilihan raya itu menyaksikan penyandang Emmanuel Macron berjaya mempertahankan kedudukannya dengan menewaskan pemimpin parti sayap kanan Marine Le Pen dengan memperoleh 58.2% undi berbanding pencabarnya yang sekadar mendapat 41.8%

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.