
“Duta besar Greece di Belgrade telah diarahkan segera menyampaikan aduan kepada Serbia dengan menegaskan pihak berkuasa Greece perlu dimaklumkan lebih awal mengenai jenis kargo yang dibawa,” kata pegawai itu.
Menurut Athens, Belgrade gagal memaklumkan pihak berkuasa penerbangan Greece mengenai kargo berbahaya yang dibawa sebelum pesawat itu berlepas. Kekeliruan turut berlaku selepas nahas terjadi, mengenai kargo dibawa dan destinasi akhir pesawat itu.
Pesawat Antonov An-12 itu terhempas berhampiran bandar Kavala pada Sabtu dalam kejadian yang meragut nyawa kesemua lapan anak kapalnya. Pesawat itu membawa 11.5 tan peluru mortar buatan Serbia ke Bangladesh yang juga pembeli barangan itu.
Pesawat itu berlepas dari Nis di Serbia pada Sabtu dan dijadualkan singgah semalaman di Amman, Jordan.
Pesawat itu dikendalikan syarikat pengangkutan kargo Ukraine, Meridian. Kementerian luar Ukraine mengesahkan lapan anak kapal terlibat adalah rakyatnya.
Saksi melaporkan melihat pesawat itu terbakar dan mendengar letupan. Video dikongsikan di media sosial menunjukkan pesawat itu terbakar ketika terhempas pada lewat Sabtu.
Pakar pelupusan letupan masih membersihkan kawasan itu, dengan penduduk tempatan dilarang memasuki kawasan berhampiran sehingga keadaan disahkan selamat.