Elon Musk tarik balik sekatan akaun Twitter milik wartawan

Elon Musk tarik balik sekatan akaun Twitter milik wartawan

Pemilik Twitter itu mengambil langkah demikian selepas mengadakan tinjauan susulan beberapa wartawan dikatakan mendedahkan keberadaannya secara masa nyata.

Jutawan terkenal, Elon Musk, yang juga pemilik Twitter menarik balik sekatan akaun media sosial itu membabitkan beberapa wartawan. (Gambar AP)
ANKARA:
Elon Musk menarik balik keputusan menyekat akaun Twitter milik beberapa wartawan terkemuka atas dakwaan mendedahkan lokasi masa nyata (real-time) jutawan itu selepas mengadakan tinjauan di media sosial berkenaan, lapor Agensi Anadolu.

“Orang ramai telah bersuara. Akaun yang menjejaki keberadaan saya akan dikembalikan sekarang,” menurut ciapan Musk di Twitter.

Antara akaun yang disekat tanpa sebarang notis atau penjelasan ialah Matt Binder dari Mashable, Donie O’Sullivan dari CNN, Ryan Mac dari The New York Times, Drew Harwell dari The Washington Post, Micah Lee dari The Intercept, Steve Herman dari Voice of America dan wartawan bebas Aaron Rupar, Keith Olbermann dan Tony Webster.

Keputusan itu dibuat sehari selepas platform itu menyekat akaun popular, @ElonJet yang dikhususkan menjejaki pesawat peribadi Musk.

Musk memberi respon mengenai sekatan itu pada Khamis menerusi ciapannya yang berbunyi: “Tiada masalah untuk mengkritik saya sepanjang hari, tetapi ia menjadi masalah jika menyiarkan maklumat lokasi secara masa nyata saya dan membahayakan keluarga saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.