
Menurut tentera, mangsa diseksa sehingga mati, dan media tempatan melaporkan mayatnya kemudian ditemui dalam sungai di Karawang, Jawa Barat.
Media tempatan melaporkan mangsa dikenal pasti sebagai Imam Masykur, 25, oleh ahli keluarga. Keluarga mangsa mendakwa askar berkenaan cuba memeras 50 juta rupiah daripadanya sebelum dia dibunuh.
“Kes melibatkan tiga askar dari unit rejimen keselamatan presiden (Paspampres) dan tentera,” kata jurucakap tentera Indonesia Brigadier Jeneral Hamim Tohari dalam sidang media.
“Apa yang pasti adalah ia bermula dengan penculikan, pemerasan dan serangan yang membawa kepada maut.”
Tentera Indonesia telah lama dikritik kumpulan hak asasi manusia kerana didakwa melakukan kekerasan terhadap orang awam, dan gagal membaharui sistem keadilan ketenteraannya.
Kes terhadap tiga askar itu menggemparkan negara dan dilaporkan meluas rangkaian televisyen utama hari ini.
Hamim berkata, kes itu dilaporkan kepada polis metro Jakarta pada 14 Ogos sebelum dipindahkan kepada polis tentera selepas tiga askar itu dinamakan sebagai suspek. Ini bererti mereka bakal dibicarakan di mahkamah tentera.
Seorang awam juga didakwa kerana disyaki terlibat dengan kejadian itu.
Bagaimanapun, pejuang hak asasi manusia menggesa perbicaraan diadakan di mahkamah jenayah kerana melihatkan mangsa awam.
“Anggota keselamatan yang disyaki terlibat menyeksa dan berperlakuan tidak berperikemanusiaan lain bukan saja patut menghadapi tindakan dalaman malah juga prosiding undang-undang di mahkamah awam mengikut prinsip keadilan,” kata Pengarah Amnesty International Indonesia Usman Hamid kepada AFP.
NGO mendakwa tribunal ketenteraan yang sering diadakan tertutup, digunakan untuk menyembunyikan perbuatan pelanggaran hak asasi manusia daripada prosiding yang lebih telus.