
JAKARTA: Sekurang-kurangnya empat maut, manakala enam lagi cedera dalam tanah runtuh di sebatang jalan di Sulawesi Selatan pada pagi Isnin, kata seorang pegawai menurut Xinhua.
Pemangku Ketua Agensi Pengurangan Bencana Sulawesi Selatan, Amson Pandolo berkata, tanah runtuh di Bastem Utara kira-kira 9 pagi waktu tempatan itu akibat hujan lebat pada petang Ahad.
Lebih 20 orang dilaporkan terjejas akibat tanah runtuh itu.
Pandolo berkata, pasukan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa dan membawa mangsa cedera ke pusat kesihatan masyarakat di kampung berhampiran.
Katanya, lebih 10 motosikal dan dua kereta tertimbus dalam tanah runtuh itu.
Beliau berkata, beberapa kampung terputus hubungan akibat jalan rosak.