
September lalu, mahkamah rendah mensabitkan Sarkozy mengambil bahagian dalam organisasi jenayah berhubung dakwaan kewangan kempen daripada bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi.
Lelaki berusia 70 tahun itu diperintahkan melapor diri ke penjara pada 21 Okt lalu, walaupun pasukan peguamnya memfailkan rayuan serta-merta terhadap sabitan itu dan beliau menghabiskan tiga minggu lalu di Penjara La Sante di Paris.
Sarkozy memohon pembebasan bersyarat sejurus selepas mula menjalani hukumannya. Di Perancis, peruntukan itu terpakai bagi banduan berusia 70 tahun ke atas, membolehkan mereka menjalani hukuman di luar penjara, tertakluk kepada syarat tertentu.
Kes berkaitan Libya itu berpunca daripada dakwaan kempen presiden Sarkozy pada 2007 menerima dana haram daripada rejim Gaddafi.
Walaupun Mahkamah Jenayah Paris tidak menemui bukti dana kempen haram, ia menyimpulkan ahli politik konservatif yang juga sekutu rapat Gaddafi itu sekurang-kurangnya berusaha mendapatkan dana daripada pemimpin Libya berkenaan.