UAE nafi ingin berperang buka semula Selat Hormuz

UAE nafi ingin berperang buka semula Selat Hormuz

Laporan dikeluarkan The Wall Street Journal dianggap mengelirukan.

Strait of Hormuz
Sekitar 20% bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz sebelum perang ke atas Iran tercetus akibat serangan AS-Israel. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Emiriah Arab Bersatu (UAE) nafi laporan mendakwa mahu menyertai konflik yang sedang berlangsung di Asia Barat untuk membuka semula Selat Hormuz secara paksa, lapor Anadolu Ajansi, memetik NBC News.

“Laporan baru-baru ini yang mencadangkan perubahan dalam pendirian UAE adalah mengelirukan.

“UAE mengekalkan pendirian defensif yang tertumpu pada melindungi kedaulatan, rakyat serta infrastrukturnya, dan berhak mempertahankan diri sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan yang menyalahi undang-undang dan tidak diprovokasi,” kata seorang pegawai dalam kenyataan, menurut NBC News.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan The Wall Street Journal yang mendakwa negara itu ‘bersedia untuk menyertai pertempuran’ bagi membuka semula laluan perairan berkenaan.

Bagaimanapun, pegawai itu berkata negara berkenaan kekal bersedia menyokong usaha kolektif antarabangsa yang bertujuan melindungi keselamatan maritim dan memastikan kelancaran aliran perdagangan melalui Selat Hormuz.

“UAE menegaskan laluan perairan strategik seperti itu tidak boleh tertakluk kepada gangguan atau paksaan oleh mana-mana negara, khususnya dengan cara yang mengancam kestabilan ekonomi global dan keselamatan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas The Wall Street Journal melaporkan UAE sedang bersedia menyokong usaha diterajui Amerika Syarikat (AS) bagi membuka semula Selat Hormuz dengan kekuatan.

Selat Hormuz terjejas sejak awal Mac, apabila Iran bertindak menyekat laluan perairan itu sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Feb.

Kira-kira 20 juta tong minyak, iaitu sekitar 20% bekalan global melalui selat itu setiap hari.

Penutupannya menyebabkan harga minyak global meningkat, mengganggu perkapalan, dan mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan ekonomi yang berpanjangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.