
Jika disebut nama ‘Botak Chin’ kepada mana-mana orang muda di Malaysia hari ini, mereka pasti terpinga-pinga.
Tetapi, bagi generasi lama, nama terbabit semestinya amat diingati apabila ia seringkali menjadi sebutan di dada akhbar dan poster wajah paling dikehendaki.
Seperti beberapa negara lain di Mexico, Jepun, Russia dan Itali yang terkenal dengan budaya kumpulan gengster, Malaysia turut tidak ketinggalan.
Ketika itu, akhbar tidak pernah kering dengan laporan rompakan bersenjata oleh kumpulan gangster yang diburu secara besar-besaran oleh pihak berkuasa.
Antara gengster ‘ternama’ yang sering disebut-sebut adalah seorang lelaki bernama Botak Chin.
Dilahirkan pada 3 Mac 1951, Wong Swee Chin adalah anak kepada seorang pekerja landasan keretapi dan mempunyai zaman kanak-kanak yang normal sehingga dia berhenti persekolahan ketika berusia 15 tahun.
Agak sayang sekali apabila ujian perubatan yang dilakukan terhadapnya ketika dia masih kanak-kanak mendapati Botak Chin sebenarnya adalah seorang yang bijak.

Dia kemudian bekerja sebagai penjual ikan untuk menyara keluarga dan ketika itu dia mula terjebak dengan kumpulan gengster sekitar tahun 1960-an di Kuala Lumpur.
Kehidupannya terus berubah apabila dia pernah diganggu oleh sekumpulan penjenayah kerana gagal membayar wang pelindungan.
Demi melindungi dirinya, dia berkawan dengan penjenayah kecil-kecilan sehingga menjadi ahli Geng 360.
Hari ini, kebanyakan remaja Malaysia berusia 18 tahun lebih bimbang dengan permohonan kemasukan ke pengajian tinggi dan kerjaya pada masa hadapan.
Namun, tidak bagi Wong, pada usia muda seperti itu dia sudah mula terbabit dengan rompakan pertama dan pertama kali memegang pistol.
Walaupun usia masih muda, dia terus mencari kumpulannya sendiri sebelum muncul dengan nama masing-masing dan melakukan lapan rompakan dalam tempoh sebulan saja.
Pada masa itu, gengster terkenal ini mula mendapat nama ‘Botak Chin’, memang tidak padan dengan tuannya memandangkan dia memiliki rambut sempurna.

Ada yang mengatakan ‘Botak’ itu sebenarnya bermaksud ‘Bantu Orang Tak Ada Kerja’.
Bagaimana pun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Dia akhirnya berjaya ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun.
Botak Chin hanya menjalani hukuman lima tahun penjara berdasarkan kelakuan baik dan sebaik keluar dia cuba untuk menjalani hidup baru dengan menjadi penjual sayur tetapi hanya seketika saja.
Perasaannya membuak-buak untuk kembali hidup sebagai penjenayah dan selepas melawat Thailand, dia membeli senjata secara besar-besaran dan mengumpul penjenayah terkenal serta mewujudkan geng baru.
Sebuah lombong bijih timah terbiar di Sentul menjadi tempat persembunyian kumpulan ini di mana menjadi lokasi mereka berlatih menembak dengan menjadikan anjing liar sebagai sasaran.
Zaman itu, Wong berada di kemuncak ‘kerjaya’ apabila kumpulannya terus aktif melakukan jenayah rompakan bank, kelab malam, pusat perjudian, trak perisai serta tokong.
Jenayah yang dilakukan Wong dan kumpulannya amat kejam apabila orang ramai, pegawai polis dan seteru jenayahnya ditembak mati begitu saja.

Kehidupan di Kuala Lumpur pada masa itu boleh diibaratkan seperti era koboi apabila aksi polis mengejar penjenayah dan insiden tembakan menjadi perkara biasa.
Biarpun begitu, Wong dikatakan meraih simpati daripada segelintir masyarakat yang melihatnya seperti Robin Hood.
Ada kisah mengatakan dia memberi semua hasil rompakan kepada golongan kurang bernasib baik termasuk cerita dia memberi wang ribuan ringgit daripada poketnya sendiri kepada seorang penjual ais krim.
Dia dikatakan agak bermoral apabila cuba mengelak daripada menjadikan orang miskin sebagai sasaran selain tidak mencederakan kanak-kanak.
Segelintir mendakwa, perbuatan baik hati yang ditunjukkan itu sebenarnya sebagai dorongan untuk mereka tidak memecahkan rahsia.
Skala jenayah yang dilakukannya mendapat perhatian polis atasan apabila ‘crime buster’ S Kulasingam diarahkan untuk mengheretnya ke muka pengadilan.

Satu skuad digelar Magnificient 12 yang diketuai Kulasingam berdepan dengan kumpulan Wong sebelum menembak mati beberapa ahlinya.
Marah dengan tindakan itu, Wong merancang untuk membalas dendam dengan cubaan membunuh penguat kuasa undang-undang yang terselamat dengan cedera ringan.
Mereka berjaya menyerbu kumpulan itu di kilang papan Eng Leong di Jalan Ipoh diikuti dengan pertempuran ganas yang menyaksikan beberapa lagi ahli terbunuh manakala Wong mengalami kecederaan dan ditahan.
Dia berdepan dengan beberapa dakwaan jenayah dan pemilikan senjata api menyebabkan dia dijatuhkan hukuman mati.
Ketika ditahan di Penjara Pudu, dia cuba melarikan diri namun gagal biarpun mencederakan tiga pengawal penjara.
Namun, apa yang pelik, penjara terbabit dihujani dengan surat dan panggilan telefon daripada peminat wanita.
Walaupun merayu supaya hukuman diringankan, namun dia tetap menerima akibat apabila dihukum gantung pada 11 Jun 1981.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]