Pengembara Russia terkandas, tabur khidmat mengajar Orang Asli

Pengembara Russia terkandas, tabur khidmat mengajar Orang Asli

Warga Russia buka pusat pendidikan untuk Orang Asli dengan mengajar Bahasa Inggeris, Geografi, Biologi, Fizik, Matematik dan kelas komputer kepada suku kaum Semai.

Valerie Azure dan anak lelakinya bersama anak-anak Orang Asli. (Gambar Valerie)

Petaling Jaya: Kira-kira setahun lalu, seorang warga Russia menjadi perhatian media apabila dia dan anak lelakinya terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila mereka dihalang masuk ke Thailand akibat pandemik Covid-19.

Bagaimana pun kini, telefon bimbit Valerie Azure, 32, dihujani dengan mesej dan panggilan untuk tujuan lain apabila usaha kemanusiaannya yang baru berusia enam bulan, Pusat Pendidikan Pos Woh untuk Orang Asli di Tapah, Perak menjadi bualan di media sosial.

Pengurus hostel itu yang pada mulanya ke Malaysia untuk melakukan aktiviti kemanusiaan menjelaskan kepada FMT, dia mula mendapat tahu mengenai kampung Pos Woh pada Ogos lalu ketika menyertai sebuah kumpulan yang mengedarkan bekalan makanan di perkampungan Orang Asli.

Kampung Pos Woh yang terletak di Tapah, Perak. (Gambar Valerie)

Dia berkata semasa berbual dengan berapa orang Suku Semai, mereka mengatakan bahawa apa yang masyarakat perlukan adalah guru sepenuh masa – pekerjaan yang dia lakukan secara sukarela.

“Saya kembali ke Kuala Lumpur dan membuat hantaran di laman Facebook meminta bantuan buku nota, perabot dan bahan untuk belajar dan mengumpulnya dalam masa dua minggu.

“Terdapat sebuah bangunan di kampung terbabit yang digunakan sebagai tempat perjumpaan. Ia mempunyai bekalan elektrik dan kami bersyukur kerana boleh menggunakannya sebagai sekolah sejak September lalu,” katanya.

Valerie bersama muridnya yang kelihatan begitu ceria. (Gambar Valerie)

Valerie berkata, pada mulanya ia agak mencabar namun sikap Orang Asli yang mengalu-alukan kedatangannya dan gembira dengan usaha dilakukan.

Selain anak-anak Orang Asli, dia turut mengajar golongan dewasa.

“Saya mempunyai murid seawal usia dua tahun hingga 100 tahun. Saya mengajar 87 murid dan 47 daripada hadir ke kelas pada setiap hari selain 14 orang dewasa juga,” katanya.

Walaupun tidak mempunyai kemudahan yang lengkap, Valerie memilih sendiri topik dan mencari maklumat di buku teks dan ensiklopedia sebelum membuat salinan.

Valerie mengambil masa empat jam untuk membuat persiapan bagi kelas selama satu jam setengah. (Gambar Valerie)

“Saya menyediakan sendiri bahan belajar dengan menampalnya di atas kertas A4 dan membuat 30 salinan muka surat untuk dijadikan sebagai buku bacaan. Perkara sama juga dilakukan terhadap buku latihan tetapi ditampal dengan teka-teki, teka silang kata dan latihan menulis menggunakan krayon,” katanya.

Valerie berkata, fokus utamanya di sekolah ialah program Bahasa Inggeris tetapi pusat pendidikan itu turut menyediakan kelas beberapa subjek lain seperti Geografi, Biologi, Fizik, Matematik dan Astronomi.

Sambutan Krismas di Pusat Pendidikan Pos Woh untuk Orang Asli. (Gambar Valerie)

“Pada mulanya saya mengajar seorang tetapi kini dua pelajar, Safina dan Jenny membantu saya. Dalam tempoh lima bulan saja, penguasaan Bahasa Inggeris mereka semakin baik,” kata Valerie yang menambah mereka turut dibayar gaji RM400 sebulan untuk tugas mengajar dua jam sehari, lima hari seminggu.

Masa mengajarnya bermula jam 8 pagi hingga 8.30 malam dengan waktu rehat pada jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari dan jam 3 hingga 4 petang.

Walaupun terpaksa berdiri 12 jam sehari namun Valerie tetap berbangga dengan pencapaian pelajarnya apabila kebanyakan mereka boleh membina ayat ringkas dalam Bahasa Inggeris dan mula minat berkomunikasi dalam bahasa itu.

Banyak usaha dan sumbangan dilakukan untuk mewujudkan sebuah pusat pendidikan di sini. (Gambar Valerie)

Usaha yang dilakukan Valerie dalam membantu Orang Asli kini menjadi perhatian di media sosial sejak dia memohon sumbangan bahan pembelajaran di Facebook sekali gus menarik minat ramai rakyat Malaysia yang sudi membantu.

“Terima kasih kepada semua yang membantu kerana kini kita mempunyai bilik darjah lengkap dengan alat tulis. Malah, ada yang menghantar telefon bimbit dan sering menghubungi kami untuk memastikan bantuan mencukupi.

“Ada di antara anak-anak ini tidak pernah memegang tetikus atau papan kekunci dan kini kita menyediakan kelas komputer setiap hari pada jam 5 petang,” kata Valerie.

Menurut Valerie lagi, anak lelakinya berusia 10 tahun, Kyri yang pada mulanya sukar menyesuaikan diri tanpa internet, kini menikmati kehidupan di kampung termasuk berenang di dalam sungai, bermain bola sepak dan membantunya di kelas.

Anak Valerie, Kyri berusia 10 tahun. (Gambar Valerie)

Malangnya, dalam perkembangan terbaru, Valerie menghadapi masalah dengan permitnya mengajar di Malaysia, menjadikan dia berada dalam situasi yang agak merbahaya.

“Saya berharap dapat tinggal di sini untuk beberapa tahun lagi sehingga salah seorang pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran, boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris namun semuanya masih belum jelas.

Ketika rencana ini ditulis, Valerie masih lagi mengajar di sekolah berkenaan namun terbaru, dia menghubungi FMT untuk memberitahu bahawa dia tidak lagi mengajar di sana manakala Pusat Pendidikan Pos Woh kini berada di bawah jagaan dua pelajarnya.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh ke laman Facebook Pusat Pendidikan Pos Woh untuk Orang Asli.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.