Anak pekebun kini usahawan wanita berjaya

Anak pekebun kini usahawan wanita berjaya

Ibu lima anak itu kini memiliki dua kilang proses biji lada.

Awaeang Kwasin (kiri) menunjukkan lada yang dipetik dari sebuah ladang di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS), manakala Norazlin Mohd Tokiran (kanan) menunjukkan produk yang dihasilkan syarikat tersebut. (Gambar Bernama)

Satu ketika dulu, Awaeang Kwasin, 44, dan adik-adiknya pernah berjemur di bawah panas terik matahari membantu ibu bapa mereka di kebun lada.

Namun, itu cerita dulu. Dia kini bergelar usahawan berjaya menerusi Syarikat Nang Ori apabila memiliki dua kilang pemprosesan biji lada, mengeksport serta menceburi industri hiliran produk berasaskan lada.

Dia juga membantu lebih 2,000 ejen di bawah kendaliannya untuk menjana pendapatan dengan menggunakan platform dalam talian.

‘Nang Ori’ membawa maksud memang tulen dalam Bahasa Melayu Sarawak, sekali gus menunjukkan lada keluaran syarikat itu sememangnya produk asli dari negeri berkenaan.

Minat wanita Bidayuh itu dalam dunia perniagaan bermula sejak kecil apabila dia sering membantu ibunya menjual hasil kebun seperti sayur-sayuran dari rumah ke rumah dan di Pasar Minggu Satok.

Dia juga dibesarkan dalam keluarga pekebun lada di Kampung Bratan, Jalan Puncak Borneo yang terletak kira-kira 24 kilometer dari Bandaraya Kuching.

Selepas tamat pengajian di Politeknik Sarawak, Awaeang berazam untuk mengubah nasib keluarganya dengan mengambil keputusan berhijrah ke Semenanjung pada 1999 hingga 2019.

Banyak pengalaman dan kegagalan ditempuhi ketika itu namun ia tidak mematahkan semangat ibu kepada lima orang cahaya mata terbabit untuk mengharungi dunia perniagaan.

“Tahun 2005 adalah tahun yang tidak dapat saya lupakan. Saya hilang punca pendapatan, berdepan kegagalan rumah tangga dan pada masa sama perlu membesarkan dua orang anak yang masih kecil masing-masing berusia dua dan lima tahun.

“Bergelar ibu tunggal, saya terpaksa bekerja keras dan berusaha lebih tanpa mengira siang dan malam. Hasilnya, saya berjaya membina perniagaan sendiri pada tahun yang sama,” katanya.

Produk lada keluaran Nang Ori. (Gambar Bernama)

Selama 20 tahun menetap dan berniaga di Semenanjung, rakannya pasti memesan untuk membeli lada Sarawak.

Berikutan permintaan itu, maka tercetuslah idea untuk dia membawa memasarkan biji lada yang dihasilkan dari kebun keluarganya di Semenanjung tanpa perlu menjual kepada pemborong atau orang tengah di Sarawak.

“Saya mula membungkus lada yang dibawa dari Sarawak di pejabat di Puchong, Selangor, sejak 2016,” katanya.

Dia turut mendaftarkan perniagaan lada secara sah di Sarawak dan memohon permit untuk membawanya keluar dari negeri itu memandangkan ia dianggap komoditi Sarawak.

Pada masa sama, dia wanita itu juga tekad untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat dengan membeli lada daripada mereka pada harga berpatutan.

Selain itu, dia mengambil inisiatif untuk meningkatkan ilmu perniagaan dan menambah baik produk dengan menghadiri kelas serta kursus anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Amanah Raya (MARA) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

“Saya terkejut apabila diberitahu oleh pegawai di Lembaga Lada Malaysia bahawa saya adalah wanita Bidayuh dan wanita Dayak pertama yang memiliki lesen untuk memborong dan mengeksport lada Sarawak memandangkan industri ini sudah sekian lama dimonopoli oleh golongan lelaki, kaum serta syarikat besar lain,” katanya.

Produk lada hitam Nang Ori kini bukan hanya mempunyai pensijilan halal dan MeSTI tetapi turut mempunyai dua kilang pemprosesan di Kota Samarahan dan Demak Laut yang berstatus amalan pengilangan baik (GMP) dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain pejabat pengurusan dan pemasaran Nang Ori terletak di Puchong dan Singapura, ia mempunyai cawangan di Kuching.

Dinekali sebagai produk berkualiti tinggi dan asli dari Sarawak, produk berasaskan lada Nang Ori berjaya memasuki seluruh pasaraya AEON, LuLu, Mydin, Giant serta menembusi pasaran Singapura dan Brunei sejak tahun lalu.

Melihat bahawa lada Sarawak yang diiktiraf sebagai lada terbaik dunia wajar diinovasi kepada produk hiliran yang lain, ia telah mendorongkan syarikat itu menghasilkan produk seperti minyak urut lada hitam, gel lada hitam dan penyembur lada hitam yang dapat membantu pengguna menyelesaikan masalah seperti sakit badan, lutut, sendi dan angin.

Nang Ori antara lain turut mengeluarkan produk minuman lada yang pertama di Malaysia iaitu kopi dan teh lada hitam Sarawak yang dilancarkan di Menara Berkembar Petronas pada 2019.

Antara pencapaian dan anugerah yang diperoleh sepanjang membina empayar Nang Ori termasuklah SME Vendor Hypermarket AEON, penceramah dan perunding cara keusahawanan MARA, Malaysia Top Achiever 2019 dalam Industri Excellence in Spice Manufacturing dan Malaysia Good Design Award (Majlis Rekabentuk Malaysia).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.