Atlet renang Jepun, penghidap leukemia layak ke Sukan Olimpik Tokyo

Atlet renang Jepun, penghidap leukemia layak ke Sukan Olimpik Tokyo

Rikako Ikee disahkan layak ke Sukan Olimpik Tokyo dalam acara medley relay.

Ikee tidak sangka dia layak ke Sukan Olimpik Tokyo. (Gambar AP)

Dua tahun lalu dia mendapat berita yang sukar diterima apabila disahkan menghidap penyakit leukemia. Ahad lalu pula dia menerima khabar gembira apabila layak ke Sukan Olimpik Tokyo dalam acara medley relay.

Rikako Ikee, perenang dari Jepun ini hanya mampu mengalirkan air mata sebaik mengetahui dia terpilih.

Ikee yang hanya meneruskan latihannya sejak Mac tahun lalu selepas terlantar di hospital selama 10 bulan, berjaya memenangi acara kuak kupu-kupu 100 meter dalam percubaan Olimpik di Tokyo dengan catatan masa 57.77 saat.

Walaupun prestasi itu tidak melayakkannya menempah slot individu pada sukan Olimpik yang terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 itu, namun atlet berusia 20 tahun tersebut masih layak menyertai pasukan relay Jepun.

“Saya terlalu gembira dan pada masa sama amat terkejut. Saya tidak tahu apa yang baru saja berlaku. Ia adalah perasaan yang tidak pernah dilalui sebelum ini,” kata Ikee yang tidak dapat menahan air mata ketika membuat ucapan di hadapan penonton.

Ikee tidak meletakkan sebarang harapan untuk ke Olimpik Tokyo selepas meneruskan perlumbaan pada Ogos tahun lalu dan hanya ingin fokus ke Sukan Olimpik di Paris pada 2024.

Namun, dia berjaya menunjukkan prestasi membanggakan biarpun hanya menjangkakan perkara itu hanya mampu dicapai selepas ini.

“Saya rasa saya menunjukkan prestasi baik dalam perlumbaan kelayakan pertama tetapi pada separuh akhir saya mula berasa penat pada perlumbaan kedua.

“Saya sukar untuk terus bergerak pada perlumbaan kedua separuh akhir itu,” katanya.

Ikee gagal menempah slotnya dalam 100 meter kuak kupu-kupu pada Olimpik Tokyo kerana tidak menepati catatan masa kelayakan iaitu 57.10 saat.

Namun, dia mempunyai satu lagi peluang untuk menebus slot individu minggu ini dan akan muncul dalam acara gaya bebas 50 meter dan 100 meter.

“Saya tidak rasa akan mempunyai peluang langsung dalam acara kuak kupu-kupu. Saya cuma menjangkakan sekiranya layak, ia mungkin acara relay gaya bebas 100 meter,” ujarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.