Kanak-kanak 11 tahun pengusaha produk coklat di Sabah

Kanak-kanak 11 tahun pengusaha produk coklat di Sabah

Armand Idrizam mengusahakan snek berasaskan coklat menerusi jenama sendiri, Koko Loko yang membantu penanam koko di Sabah untuk menjana pendapatan.

Armand bersama biji koko yang menjadi sumber bahan mentah untuk produknya. (Gambar Nina Othman)

Petaling Jaya: Kanak-kanak yang berusia 11 tahun ini, Armand Idrizam mungkin kelihatan seperti budak sekolah biasa yang menggemari pelbagai snek perisa coklat serta biskut.

Siapa yang tidak suka menikmati manisan seperti itu?

Namun, hari ini, snek dan biskut coklat yang tersedia di hadapannya itu bukan sekadar makanan ringan yang dinikmati pada waktu tengah hari tetapi ia dihasilkan sendiri oleh Armand sebelum membuat penghantaran kepada semua pelanggan di seluruh Malaysia.

Armand di kilangnya bersama produk Iftar Bites (Gambar Nina Othman)

Pengusaha coklat cilik ini sudah pun membina empayar coklatnya sendiri dengan jenama Koko Loko iaitu snek berasaskan coklat. Ia menggunakan bahan koko diusahakan oleh penanam di Sabah sekali gus memberi pendapatan kepada mereka.

Armand yang berpindah ke Sabah pada Disember 2018 bersama keluarganya memberitahu FMT, dia memujuk ibunya untuk memulakan perniagaan itu kerana ingin menjana pendapatan sendiri.

Katanya, hasil pendapatan itu boleh digunakannya bagi membeli barangan untuk keluarga dan diri sendiri.

“Saya mengikuti lawatan kerja ibu ke Kampung Tambatuon dan bertemu dengan sekumpulan penanam koko di sana,” katanya.

Armand bersama sekumpulan penanam koko di Kampung Tambatuon. (Gambar Nina Othman)

Armand mewarisi semangat keusahawanan daripada ibunya, Nina Othman yang juga seorang usahawan sosial apabila membantu mempromosikan hasil pertanian dan kraftangan penduduk Sabah.

“Kami bekerjsama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah kerana pada mulanya kami tidak mempunyai ketuhar untuk membuat coklat dan dengan cara ini ia membantu mereka menjana pendapatan,” kata Armand yang menghasilkan produk pertama Koko Loko, Granola Coklat.

Granola mendapat sambutan hangat dan di bawah jenama Koko Loko, mereka terus mempelbagaikan produk dengan sapuan sarapan pagi yang mengambil inspirasi daripada zaman kanak-kanak Armand.

(Dari kiri) Armand dan adik-beradiknya, Faheem dan Julia bersama sapuan coklat mereka. (Gambar Nina Othman)

“Saya ingin menghasilkan produk sapuan kerana mempunyai banyak kenangan menikmati mentega kacang dengan coklat atau jem.

“Bagaimanapun, saya ingin menggabungkan semua perisa produk Chunky Cocoa Peanut Butter dan Dark Cocoa Peanut Butter yang diadun dengan kepingan kecil koko,” katanya.

Bermula awal tahun ini, Armand ingin seluruh rakyat Malaysia tahu mengenai perniagaan coklatnya itu dan pada masa sama, dia memerlukan sebuah kilang untuk beroperasi.

Melalui cadangan ibunya, kanak-kanak itu berusaha mengumpul dana dan hanya dalam tempoh kurang sebulan saja dia sudah berjaya memperolehi jumlah terkumpul sekitar RM26,655.

Armand sedang mencuba pelbagai resepi menarik. (Gambar Nina Othman)

Kilang ‘Do Good, Eat Chocolate’ di Kinarut kini menjadi pusat bagi Armand dan keluarganya menghasilkan snek coklat enak berkenaan.

“Saya gemar membakar biskut, jadi kami menghasilkan biskut Afghan yang penuh dengan perisa coklat dan mengandungi bahan premium seperti mentega asli, 60 peratus coklat gelap Koko Loko dan kacang walnut.

“Kami juga menghasilkan kepingan coklat gelap 60 peratus dan 70 peratus di mana pengguna boleh menggunakannya untuk membuat kek dan coklat mahupun minuman koko panas.

Biskut Afghan keluaran Koko Loko. (Gambar Nina Othman)

“Kami mempunyai tiga perisa kepingan kecil koko seperti manis masin, manis pedas dan perisa asal,” katanya.

Pada Ramadan lalu, Armand menjual manisan Iftar terdiri daripada sembilan jenis yang menggunakan bahan premium bersama kepingan kecil koko dan coklat gelap daripada koko keluaran Sabah.

Walaupun menghasilkan beberapa produk baru, Armand tidak mempunyai masalah dalam membahagikan masanya sebagai murid dan perniagaan.

“Biasanya saya akan menyiapkan kerja sekolah menjelang tengah hari. Semua waktu terluang selepas itu termasuk hujung minggu dan cuti sekolah akan dihabiskan di kilang coklat,” ujarnya.

Armand membuat penghantaran produk Koko Loko kepada pelanggannya. (Gambar Nina Othman)

Armand mempunyai perancangan besar untuk kilangnya dan berharap dapat membantu individu terjejas menjana pendapatan ketika pandemik Covid-19.

Pada masa sama, dia berhasrat untuk melatih mereka menghasilkan sendiri snek berasaskan coklat.

Sementara itu, Nina menjelaskan, sebelum pandemik melanda, mereka merancang untuk bekerjasama dengan seorang rakan menghasilkan kayu daripada plastik kitar semula.

Katanya, Koko Loko berharap dapat melaksanakan idea mereka dengan menjadikan plastik kitar semula sebagai pertukaran untuk kanak-kanak yang tidak mampu membeli biskut atau coklat.

“Rakan juga mencadangkan bahawa 20 peratus daripada keuntungan itu disalurkan kepada projek hijau seperti tanaman pokok, pemuliharaan batu karang dan paya bakau,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Armand sibuk membungkus tempahan coklat yang dibuat oleh pelanggannya. (Gambar Nina Othman)

Seperti Willy Wonka, Armand juga mempunyai impian besar sebagai pengusaha coklat ternama satu hari nanti.

Jika ingin membantu penanam koko di Sabah yang terjejas ketika pandemik dan menyokong perniagaan Armand, anda boleh ke Instagram dan Facebook Koko Loko untuk membuat tempatan. Penghantaran dilakukan ke seluruh negara.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected] 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.